Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), agensi pertahanan udara itu dipertanggungjawabkan bagi koordinasi Terbang Lintas Hormat dan Segmen Udara (air segment) melibatkan pesawat udara milik ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu pesawat udara milik TUDM, TDM dan TLDM.
Selain itu, terdapat juga pesawat-pesawat udara milik pasukan keselamatan dan penguatkuasa lain seperti dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Berdasarkan kenyataan tersebut, pesawat-pesawat yang dinyatakan itu akan menjalankan sesi Terbang Lintas Hormat dan Segmen Udara bersempena Hari Kebangsaan Tahun 2022 yang akan disambut pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Untuk makluman, pesawat-pesawat udara tersebut akan menjalani latihan dan persiapan untuk Sambutan Hari Kebangsaan bermula pada 26 Ogos 22 sehingga hari sebenar sambutan pada 31 Ogos 22. Latihan dilakukan selama lima hari adalah untuk memastikan perjalanan bagi sesi pertunjukkan udara berjalan dengan lancar, mengikut aturan majlis.
Sepanjang tempoh latihan persiapan sehingga hari sebenar, pesawat-pesawat terlibat akan melaksanakan penerbangan rendah dan penerbangan taktikal.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya terlihat pesawat-pesawat tentera serta agensi keselamatan dan penguatkuasa terbang rendah yang dapat disaksikan di beberapa kawasan latihan iaitu di sekitar Kuantan, Pahang; sekitar Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang.

Menurut Facebook Tentera Darat Malaysia, terdapat juga latihan perarakan kontinjen dan aset ATM sempena Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-65 di Kem Perdana Sungai Besi yang dilakukan pada hari ini. Sesi latihan tersebut telah dihadiri oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hafizuddeain bin Jantan.
Latihan perarakan ini melibatkan Kontinjen Keselamatan Negara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara.

Di samping itu, Kontinjen Perbarisan akan diiringi oleh Pancaragam Pusat TLDM, Pancaragam Pusat TUDM, Pancaragam Kor Armor Diraja (KAD) dan Pancaragam Wanita Rejimen Semboyan Diraja (RSD).

Difahamkan bahawa pancaragam atau brass band dari Pusat Latihan Muzik Darat (PUZIDA), Briged (Para), Rejimen Askar Melayu Darat (RAMD) dan Rejimen Renjer Malaysia (RRD) juga akan turut serta dalam perbarisan tersebut.
Latihan bersempena Hari Kemerdekaan Ke-65 kali ini telah menunjukkan sesuatu yang berbeza pada sambutan tahun ini. Kelihatan tahun ini pastinya lebih menarik setelah dua tahun tidak dapat diadakan secara besar-besaran.
Sama-samalah kita zahirkan sokongan dan nilai patriotisme yang kita miliki dengan menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 pada 31 Ogos 2022.