Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penantian Berakhir, Ini Wajah Baharu MyKad Generasi Baharu, Boleh Ditukar Bermula Esok

MyKad Generasi Baharu
Kredit: Bernama

Selepas lebih dua dekad menjadi dokumen pengenalan utama rakyat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini memperkenalkan MyKad Generasi Baharu yang tampil dengan pembaharuan dari segi reka bentuk, struktur serta ciri keselamatan.

Pembaharuan itu diperkenalkan bagi memastikan dokumen pengenalan negara kekal selamat, lebih sukar dipalsukan dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.

MyKad Generasi Baharu Dilengkapi 53 Ciri Keselamatan

Antara perubahan utama ialah penggunaan bahan polikarbonat yang lebih tahan terhadap perubahan suhu ekstrem dan bahan kimia, sekali gus menjadikan kad lebih kukuh serta tahan lama.

MyKad Generasi Baharu turut dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan fizikal dan teknologi, termasuk:

Cip NFC dan dwi fungsi
Membolehkan cip dibaca secara sentuhan (contact) dan tanpa sentuhan (contactless) bagi memudahkan proses pengesahan serta urusan tertentu.

Transparent Window
Elemen lutsinar khas yang mengandungi ciri visual tambahan bagi menyukarkan usaha pemalsuan.

Hologram keselamatan dinamik
Memaparkan imej tiga dimensi (3D) yang berubah mengikut sudut pandangan dan pencahayaan.

Elemen ultraungu (UV)
Imej serta corak keselamatan tertentu hanya dapat dilihat menggunakan cahaya UV.

Kod QR
Disediakan bagi menyokong proses pengesahan pantas, termasuk untuk tujuan penguatkuasaan.

Corak Guilloche dan teks mikro
Menggunakan corak garisan halus yang kompleks serta tulisan bersaiz sangat kecil yang sukar ditiru.

Mula Dikeluarkan 17 September

Bermula 17 September 2026, MyKad Generasi Baharu akan mula dikeluarkan di 40 cawangan JPN yang mempunyai Pusat Cetakan di seluruh negara.

Kemudahan berkenaan membolehkan MyKad baharu disiapkan dan dikeluarkan pada hari yang sama, tertakluk kepada urusan di cawangan terlibat.

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut termasuk senarai cawangan terlibat atau pertanyaan berkaitan pertukaran MyKad boleh merujuk Portal Rasmi JPN atau menggunakan perkhidmatan Chatbot JPN.



Intipati
  • JPN memperkenalkan MyKad Generasi Baharu dengan reka bentuk, struktur dan ciri keselamatan ditambah baik.
  • Kad baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan, termasuk cip NFC, kod QR dan hologram dinamik.
  • MyKad Generasi Baharu akan mula dikeluarkan di 40 cawangan JPN pada 17 September 2026.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan