Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pendirian UEFA Tak Berubah, Kekal Boikot Piala Dunia

uefa
Kredit: AFP

Pendirian UEFA Tak Berubah, Kekal Boikot Piala Dunia

Badan induk bola sepak Eropah, UEFA pada Khamis memaklumkan bahawa pihaknya akan meneruskan boikot terhadap kejohanan Piala Dunia lelaki dan wanita, meskipun FIFA telah menarik balik rancangan untuk membuka pertandingan kendaliannya kepada pelaburan swasta.

Ancaman awal UEFA pada Khamis lalu untuk memboikot pertandingan FIFA dilihat memainkan peranan penting dalam menyebabkan rancangan tersebut dibatalkan, lapor AFP.

Walaupun penarikan balik rancangan itu merupakan salah satu syarat yang ditetapkan UEFA untuk membatalkan ancaman berkenaan, badan tersebut berkata pada Khamis bahawa syarat kedua masih belum dipenuhi.

“Persatuan-persatuan di bawah UEFA sangat jelas mengenai syarat yang ditetapkan berhubung keputusan mereka untuk tidak menyertai pertandingan FIFA.

“Pertama, cadangan untuk menjual pertandingan-pertandingan utama perlu ditarik balik dan kedua, jaminan mesti diberikan bahawa cubaan untuk mencacatkan permainan dengan cara seperti ini tidak akan dilakukan lagi.

“Syarat-syarat ini masih belum dipenuhi," kata UEFA.

Kredit: AFP

Walaupun UEFA menyambut baik penarikan balik rancangan tersebut pada Sabtu lalu, badan berkenaan mengkritik Presiden FIFA, Gianni Infantino serta menyifatkan cadangan itu sebagai urus niaga buruk, dilakukan secara belakang tabir dan tidak telus.

Nada UEFA kekal tidak berubah dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

“UEFA telah menjelaskan dalam kenyataannya pada Sabtu bahawa badan ini sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Gianni Infantino sebagai presiden. Pendirian itu kekal,” katanya.

Infantino mendapat sedikit kelegaan pada Rabu selepas mengadakan mesyuarat tergempar bersama pengarah kanan FIFA di Maghribi.

Mereka menyatakan sokongan terhadap Infantino dengan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mendapat sokongan penuh, selain memohon maaf atas kesilapan yang berlaku selepas cadangan tersebut dibocorkan kepada media.

Bagaimanapun, UEFA menolak sokongan itu, yang turut melibatkan Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom.

E-mel Grafstrom kepada kakitangan yang bocor pada Selasa sebelum ini dilaporkan mengkritik rancangan berkenaan.

FIFA mengemukakan rancangan tersebut pada Selasa lalu dengan mendakwa ia mampu mengumpul sehingga AS$4.2 bilion berdasarkan penilaian AS$20 bilion bagi sebuah anak syarikat komersial baharu yang dinamakan FIFA Forward Enterprise (FFE).

Kredit: AFP

FFE dicadangkan untuk mengendalikan pertandingan seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab.

FIFA berkata sekiranya diluluskan, projek itu boleh memberikan bayaran sekali sahaja sebanyak AS$20 juta kepada setiap 211 persatuan anggotanya pada awal 2027.

Ia juga akan meningkatkan peruntukan pembiayaan bagi kitaran 2027 hingga 2030 daripada AS$8 juta kepada AS$20 juta.

Bagaimanapun, susulan bantahan global, Infantino terpaksa menarik balik rancangan tersebut beberapa hari kemudian dalam satu keputusan yang dianggap memalukan.