Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Penduduk Kongsi Keadaan Jalan Rosak Teruk Di Aceh Selepas Dilanda Banjir

Athirah
Kredit: Weather Monitors

Penduduk Kongsi Keadaan Jalan Rosak Teruk Di Aceh Selepas Dilanda Banjir

Umum sudah pun maklum bahawa negara Indonesia telah dilanda musibah hebat berupa banjir dan tanah runtuh. Kejadian berkenaan telah mengorbankan kira-kira ratusan nyawa setakat hari ini.

Media tempatan melaporkan ribuan penduduk Aceh hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka hanyut akibat banjir yang melanda pada 22 November lalu.

Malah, menurut Agensi Bencana Indonesia, Aceh mencatat 218 kematian manakala Sumatera Utara 301 dan Sumatera Barat 193 setakat semalam.

Keadaan di Aceh juga masih tidak stabil dengan beberapa kawasan terputus hubungan akibat jambatan runtuh, manakala banjir melanda 16 daerah, paling kritikal di Aceh Timur, Tamiang dan Aceh Utara.

Tentera Negara Indonesia (TNI) kini sedang berusaha untuk membina jambatan darurat bagi menyambung semula perhubungan antara daerah di Aceh.

Jalan raya rosak teruk akibat tekanan banjir yang kuat

Dalam pada itu, sebuah video yang menunjukkan keadaan selepas banjir melanda Bireuen, Aceh tersebut menjadi tular di media sosial.

Menerusi video yang dikongsikan oleh warga maya, antara kerosakan utama yang jelas kelihatan tentunya permukaan jalan berturap di sebuah kampung yang hampir musnah.

Kerosakan tersebut dipercayai disumbangkan oleh tekanan dan arus deras air banjir yang melanda kawasan berkenaan.

Difahamkan, kejadian yang berlaku pada tahun ini telah disifatkan sebagai yang terburuk pernah berlaku di Indonesia.

Selepas banjir melanda kawasan ini, jalan raya rosak teruk sehingga menyebabkan sebuah lori terbalik ke dalam rekahan tanah. Beberapa individu terpaksa berjalan kaki melalui laluan yang runtuh itu untuk meneruskan perjalanan.

Sebelum ini, SK melaporkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) menjelaskan punca banjir ialah curah hujan yang sangat tinggi akibat Siklon Senyar.

Keadaan kawasan tadahan air yang tidak mampu menampung hujan secara optimum turut menyumbang kepada bencana ini.

Bagaimanapun, banyak pihak percaya bahawa penebangan hutan di hulu sungai sebenarnya penyumbang utama kepada bencana ini.

Tambahan pula, video tular di media sosial menunjukkan pokok-pokok yang ditebang hanyut dibawa arus. Data juga menunjukkan bahawa Sumatera antara pulau yang paling banyak kehilangan hutan di Indonesia.

Kementerian Perhutanan menjelaskan bahawa kayu yang dihanyutkan adalah kayu tua yang sudah reput. Namun, kerosakan alam sekitar yang terkumpul selama ini tetap menjadi ‘bom jangka’ yang akhirnya meletup sebagai bencana besar.

BACA: Beberapa Hari Tahan Lapar, Mangsa Banjir Aceh Mohon Bantuan PM Anwar

Sumber: Weather Monitors