Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penerbit & Pengarah Siri Anime Cardfight Vanguard Meninggal Dunia
Pengasas dan bekas presiden Gift-o' Animation, Satoshi Mori dilaporkan telah meninggal dunia pada 20 Februari lalu.
Berita duka itu disampaikan oleh ahli keluarganya di akaun media sosialnya.
Mori dikatakan meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit sejak sekian lama. Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai penyakit itu tidak didedahkan.
"Kepada semua yang telah menyokong Mori sepanjang kehidupan hariannya, kami sekeluarga ingin memaklumkan bahawa Mori telah berjuang melawan penyakit sejak sekian lama, namun beliau telah menghembuskan nafas terakhir dengan tenang pada 20 Februari 2026.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus dari lubuk hati kami atas segala sokongan, kasih sayang serta doa yang telah diberikan sepanjang hayat beliau, dan kepada semua yang sentiasa berada di sisinya," katanya.
Mori mengasaskan Gift-o' Animation pada tahun 2015 dan berkhidmat sebagai presiden pertamanya.
Sementara itu, Kinema Citrus iaitu syarikat sekutu Gift-o' Animation menyifatkan Mori sebagai individu yang sentiasa bekerja dengan penuh keikhlasan di lapangan, memimpin pelbagai karya, serta memberi sumbangan besar dalam penubuhan syarikat dan pembangunan bakat generasi baharu.
Beliau telah menerbitkan beberapa siri anime termasuk Cardfight!! Vanguard. Selain itu, Mori turut mengarah dua musim Cardfight!!Vanguard overDress, Made in Abyss, Scorching Ping Pong Girls dan musim pertama The Rising of The Shield Hero.