Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penganjur Sukan Asia 2026 Tak Bina Perkampungan Atlet, Peserta Tinggal Di Mana?

Sukan Asia 2026
Kredit: AFP

Pejam celik, Sukan Asia 2026 telah bermula secara rasmi pada Sabtu lalu di Nagoya, Jepun.

Walaupun mungkin acara sukan berprestij ini masih kurang diperkatakan, namun kehangatannya tetap dirasai apabila atlet setiap negara menunjukkan persaingan sengit.

Bagaimanapun, sebelum temasya itu bermula, timbul beberapa isu dan kekeliruan mengenai tempat tinggal kontinjen bagi 45 negara dan wilayah yang bertanding.

Keadaan itu terjadi kerana tuan rumah menongkah arus dengan tidak membina perkampungan atlet tradisional yang berpusat.

Justeru, mereka tinggal di mana?

Untuk pengetahuan, temasya yang menghimpunkan lebih 17,000 atlet dan pegawai itu tidak mempunyai perkampungan atlet seperti yang biasa dilihat dalam temasya sukan utama lain.

Sebaliknya, penganjur menggunakan pendekatan berbeza dengan menempatkan peserta di beberapa lokasi termasuk hotel, penginapan sementara yang dikenali sebagai Asian Games Villas serta kapal persiaran Costa Serena.

Kredit: AFP

Menurut Majlis Olimpik Asia (OCA), sebanyak 400 unit Asian Games Villas dibangunkan di Garden Pier, Nagoya.

Kesemua unit sementara itu mampu menempatkan sehingga 2,400 atlet dan pegawai, dengan setiap unit boleh dihuni maksimum enam orang.

Kawasan berkenaan bukan sekadar menyediakan tempat tidur, malah dilengkapi ruang rehat, gimnasium, dewan makan, pusat perkhidmatan kontinjen serta hab pengangkutan.

Sementara itu, ribuan lagi atlet dan pegawai ditempatkan di atas Costa Serena yang berlabuh di Kinjo Pier.

Kredit: OCA

Kapal persiaran sepanjang 290.2 meter itu mempunyai kira-kira 1,500 kabin dan digunakan sebagai sebuah ‘hotel terapung’ sepanjang temasya berlangsung.

Pada satu-satu masa, kapal tersebut boleh menempatkan sehingga kira-kira 4,000 atlet dan pegawai.

Kenapa tak bina perkampungan atlet?

Antara faktor utama tuan rumah tidak membina perkampungan atlet tradisional adalah kos pembinaan yang tinggi. Langkah itu diambil bagi menjimatkan perbelanjaan serta mengelakkan kemudahan berkenaan menjadi projek ‘gajah putih’ selepas temasya berakhir.

Bagaimanapun, cabaran timbul apabila jumlah atlet dan pegawai yang menyertai temasya meningkat melebihi perancangan asal.

Penganjur sebelum ini menyediakan kapasiti penginapan untuk sehingga 15,000 orang, namun jumlah peserta dan pegawai yang mendaftar akhirnya melebihi 17,000.

Susulan itu, beberapa kontinjen dilaporkan berdepan isu berkaitan bilik, pengangkutan serta proses daftar masuk.

Antara yang menjadi perhatian adalah kelewatan ketika peserta menaiki Costa Serena pada minggu lalu sehingga ada atlet terpaksa menunggu selama beberapa jam.

Kredit: AFP

AINAGOC bagaimanapun menjelaskan bahawa kelewatan dan kekeliruan tersebut berpunca daripada masa yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah dokumentasi tidak lengkap yang dikemukakan oleh beberapa delegasi.

Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa mereka bekerjasama dengan Costa Cruises dan JTB Corporation bagi menguruskan operasi penginapan di kapal persiaran berkenaan.

Di sebalik isu tersebut, atlet setiap negara tetap menunjukkan semangat yang kuat untuk beraksi dalam acara yang dipertandingkan.

Temasya itu berlangsung selama 16 hari bermula 19 September hingga 4 Oktober.

Intipati
  • Sukan Asia 2026 tidak mempunyai perkampungan atlet tradisional berpusat seperti temasya utama lain.
  • Peserta ditempatkan di hotel, Asian Games Villas dan kapal persiaran Costa Serena.
  • Penganjur berkata kelewatan di Costa Serena berpunca daripada dokumentasi tidak lengkap beberapa delegasi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan