Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pengerusi MARA ‘Lamar’ Putera Iman Shah Sebagai Anak Angkat

Iqbal Yasir
Asyraf Wajdi Putera Iman anak Angkat
Gambar: Fb Asyraf Wajdi/ UUM

Pengerusi MARA ‘Lamar’ Putera Iman Shah Sebagai Anak Angkat

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan hasrat menjadikan Putera Iman Shah Shahiran, 19, sebagai anak angkatnya.

Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkata demikian ketika berhubung dengan pemuda yang berstatus yatim piatu itu menerusi satu panggilan video.

“Memandangkan Putera kini menjadi anak yatim piatu, insyaAllah saya juga akan menjadikannya sebagai anak angkat saya bagi membantunya. Bolehlah dia datang ke rumah waktu musim cuti semester,” katanya.

Tambahnya, MARA juga akan turut membantu dengan memberikan pembiayaan sara hidup bulanan di samping bantuan awal dan laptop untuk kegunaan pembelajaran beliau di UUM.

Menurutnya, beliau sebelum ini dimaklumkan mengenai kisah menyayat hati Putera Iman.

“Kisahnya cukup menyayat hati saya, ibunya meninggal dunia beberapa tahun dahulu, setelah hanya sempat sebulan meraikan kegembiraan atas kejayaan Putera menyambung pengajian di MRSM Transkrian. Arwah meninggal sebulan selepas Putera masuk mendaftarkan diri.

“Arwah ayah yang hanya bekerja sebagai Pengawal Keselamatan (Guard) pula meninggal secara mengejut bulan lepas. Tinggallah Putera sebatang kara tiada tempat mengadu dan berkasih sayang.

“Apabila mendapat tempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), peringkat awal berkira-kira untuk tidak meneruskan kerana nak terus bekerja. Namun, alhamdulillah setelah dipujuk rakan taulan, beliau yang merupakan pelajar cemerlang di Pusat Matrikulasi dengan CGPA 3.7 secara bersendirian naik keretapi mendaftarkan diri seorang diri masuk ke UUM,” katanya lagi.

Beliau turut menitipkan pesan kepada pemuda itu bahawa hanya dengan ilmu sahaja yang boleh merubah kehidupan.

“InsyaAllah saya doakan Putera akan berjaya dan sentiasa dalam peliharaan Allah,” pesan Asyraf Wajdi.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan akan memberi jaminan yuran pengajian Putera Iman akan ditanggung sepenuhnya sehingga tamat pengajian.

Terdahulu, kisah Putera Iman mendapat perhatian ramai apabila dia hadir mendaftar UUM tanpa ditemani selepas kehilangan kedua ibu bapa.

Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

BACA: Kisah Pelajar Yatim Piatu Daftar UUM Sendirian Buat Netizen Sebak