Pengguna Indonesia Puji Aplikasi TNG Milik Malaysia
Sebut tentang aplikasi Touch ‘n Go (TNG), ia merupakan antara aplikasi yang paling gemar digunakan oleh rakyat Malaysia.
Lebih-lebih lagi, zaman kini ramai memilh untuk membuat pembayaran secara digital disebabkan lebih cepat, mudah dan mesra pelanggan.
Apatah lagi, Touch ‘n Go (TNG) menawarkan pelbagai perkhidmatan, sekali gus menjadi platform yang memudahkan urusan seharian pengguna.
Tolong Buat Untuk Indonesia Juga - Pengguna TNG Indonesia
Baru-baru ini, menerusi satu hantaran pengguna Indonesia memuji akan rekaan antara muka aplikasi berkenaan disifatkan mesra pengguna dan menarik serta mudah digunakan.
“Tolong @mytouchngo, buatkan juga untuk versi Indonesia supaya kami boleh mendaftar menggunakan KTP (kad pengenalan), sebab reka bentuk antara muka (UI) aplikasi ini sangat menarik dan bagus,” ujarnya di platform Threads.

Susulan perkongsian berkenaan, ramai yang memberikan respon positif mengenai UI berkenaan.
Ia termasuk sebahagian pengguna Indonesia yang pernah mencuba aplikasi TNG itu dalam urusan transaksi di Malaysia mahupun serantau.

Antara pujian yang diberikan termasuklah berkaitan kemudahan melakukan transaksi merentasi sempadan. Sama ada di negara sendiri mahupun di Malaysia, selain boleh digunakan sebagai medium penyimpanan wang yang selamat dan praktikal.
Malah, seorang pengguna dari Indonesia turut meluahkan rasa kagum apabila mendapati aplikasi Touch ‘n Go kini bersifat lebih universal dengan sokongan transaksi di lebih 50 negara di seluruh dunia.
Sehubungan itu, rata-rata netizen dari negara jiran menyatakan hasrat untuk memiliki aplikasi seumpama itu kerana manfaatnya yang besar dalam urusan harian, khususnya bagi mereka yang menetap di Indonesia dan kerap menjalankan transaksi dalam talian merentasi sempadan.
Meskipun sudah mempunyai beberapa aplikasi dompet digital versi Indonesia, mereka berpendapat masih terdapat kekangan dari segi fungsi selain sokongan pembayaran yang tidak seluas seperti yang ditawarkan oleh TNG eWallet.
Dalam masa sama, mereka turut berharap agar proses pendaftaran aplikasi TNG dapat menerima penggunaan Kartu Tanda Penduduk (KTP), iaitu kad pengenalan versi Indonesia, dan tidak hanya terhad kepada pasport atau nombor telefon semata-mata.
