Utama

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Penggunaan Dashcam Masih Di Peringkat Advokasi, Belum Diwajibkan - Loke
SEREMBAN, 12 Feb (Bernama) -- Cadangan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) masih berada di peringkat advokasi dan belum diwajibkan kepada semua pemilik kenderaan buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke berkata sebarang dasar baharu yang mewajibkan pemasangan peralatan tambahan seperti dashcam, perlu melalui proses penilaian menyeluruh termasuk aspek keberkesanan, kebolehlaksanaan serta implikasi kos kepada masyarakat.
Beliau berkata ketika ini semakin ramai pengguna kenderaan memasang dashcam secara sukarela bagi langkah keselamatan dan perlindungan diri, selain berfungsi sebagai bukti sekiranya berlaku sebarang insiden.
“Buat masa ini pendekatannya adalah advokasi. Kita menasihatkan dan menggalakkan orang ramai memasang dashcam kerana ada kebaikan, demi keselamatan mereka sendiri.
"Apabila terdapat tambahan kos, mungkin ada sebilangan masyarakat tidak bersetuju. Oleh itu, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum sesuatu perkara diwajibkan. Kita mengambil pendekatan lebih berhemah dalam isu mewajibkan pemasangan dashcam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Loke berkata demikian selepas Majis Hi-Tea bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung JPKK Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang mempertimbangkan cadangan supaya dashcam diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan lalu lintas.
Sementara itu, pada program berkenaan seramai 44 JPKK bagi Parlimen dan DUN berkenaan menerima sumbangan sempena Ramadan masing-masing sebanyak RM4,000 membabitkan jumlah keseluruhan RM176,000.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berharap agar bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik bagi memastikan sokongan dan kepercayaan orang ramai terus terpelihara.
Beliau berkata setiap wakil rakyat dan pemimpin setempat perlu mengamalkan prinsip keadilan dalam menguruskan kawasan masing-masing serta memastikan kebajikan penduduk diberikan perhatian tanpa mengira sokongan politik.