Sebarang tindakan berkaitan penghantaran pulang pelarian Myanmar ke negara asal akan dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), hari ini, bagi bertukar pandangan serta mendapatkan maklum balas berhubung isu pengurusan pelarian.
Katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini, perbincangan turut menyentuh tatacara pelaksanaan penghantaran pulang, aspek keselamatan serta perkara berkaitan kemanusiaan yang diminta SUHAKAM diberi perhatian.
“Antara perkara dibincangkan termasuk penghantaran pulang pelarian Myanmar ke negara asal, termasuk tatacara pelaksanaan dan aspek keselamatan, selain perkara-perkara kemanusiaan yang SUHAKAM mohon diberi perhatian.
“Pertemuan seperti ini penting bagi membolehkan kerajaan mendengar pandangan semua pihak, khususnya dari sudut kemanusiaan dalam menangani isu pelarian,” katanya.
Menurut Fahmi, kerajaan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan dalam menangani isu pengurusan pelarian, termasuk aspek kemanusiaan dan keselamatan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus serta pasukannya atas kesudian menerima beliau dan delegasi dalam pertemuan berkenaan.

