Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penguatkuasaan Kadar Maksimum Kompaun RM500 Dijangka Bermula 1 Januari 2029 - Loke

kompaun rm500
Gambar: BERNAMA

Penguatkuasaan Kadar Maksimum Kompaun RM500 Dijangka Bermula 1 Januari 2029 - Loke

Kerajaan bercadang menaikkan had maksimum tawaran kompaun bagi pelbagai kesalahan trafik daripada RM300 kepada RM500 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Bagaimanapun, kadar baharu itu hanya dijangka dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2029 bagi memberi ruang kepada pengguna jalan raya menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, pindaan itu turut melibatkan penyelarasan kadar denda minimum, penalti serta had maksimum kompaun bagi beberapa kesalahan tertentu di bawah Akta 333 supaya hukuman yang dikenakan kekal relevan dan lebih berkesan sebagai langkah pencegahan.

Antara kesalahan yang terlibat ialah gagal memperagakan nombor pendaftaran kenderaan dengan betul, menggunakan kenderaan tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah, serta memandu tanpa lesen memandu yang sah.

Selain itu, memandu melebihi had laju, gagal menjalani pemeriksaan berkala bagi kenderaan tertentu, gagal mematuhi arahan atau isyarat lalu lintas serta beberapa kesalahan lain yang berkaitan dengan pematuhan asas peraturan jalan raya.

"Dalam hal ini, saya ingin menegaskan bahawa peningkatan kadar maksimum kompaun daripada RM300 kepada RM500 tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kadar maksimum tersebut secara automatik.

"Bagi kesalahan yang boleh dikompaun, pindaan ini hanya menaikkan had maksimum tawaran kompaun, manakala kadar sebenar yang dikenakan masih tertakluk kepada jenis kesalahan, tahap keseriusan kesalahan, tempoh penyelesaian kompaun serta tatacara yang ditetapkan," katanya.

Tempoh peralihan

Beliau berkata, kerajaan turut mencadangkan tempoh peralihan sebelum penguatkuasaan kadar maksimum baharu dilaksanakan.

Hal ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya serta memberi peluang kepada orang ramai mengubah sikap agar lebih berhemah dan berhati-hati ketika memandu.

Sehubungan itu, penguatkuasaan had maksimum kompaun RM500 dicadangkan bermula pada 1 Januari 2029.

Loke turut menegaskan bahawa langkah tersebut bukan bertujuan membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan.

Sebaliknya, katanya, semakan kadar kompaun itu dibuat bagi memastikan hukuman terhadap kesalahan trafik kekal relevan mengikut keadaan semasa serta mampu memberi kesan pencegahan yang lebih berkesan, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya.