Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan Peruntuk Hukuman Penjara Bagi Lumba Haram - Loke

akta pengangkutan
Kredit: Bernama

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan Peruntuk Hukuman Penjara Bagi Lumba Haram - Loke

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun terhadap individu yang disabitkan kesalahan terlibat dalam perlumbaan haram atau menduga kelajuan di jalan raya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata di bawah pindaan itu, peruntukan baharu Seksyen 42A menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata bagi kesalahan pertama, individu yang didapati berlumba atau mengambil bahagian dalam menduga kelajuan di jalan raya boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Sabitan kali kedua atau kali kemudian, hukuman yang lebih berat diperuntukkan, iaitu denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau pemenjaraan hingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Loke berkata ketika ini, tindakan terhadap aktiviti lumba haram lazimnya diambil di bawah peruntukan pemanduan berbahaya, namun peruntukan sedia ada tidak memperuntukkan secara khusus kesalahan berlumba atau menduga kelajuan.

Keadaan itu, katanya, boleh menimbulkan cabaran dari sudut penguatkuasaan apabila perbuatan berlumba dapat dikesan, tetapi syarat atau unsur yang diperlukan untuk membuktikan kesalahan di bawah peruntukan lain tidak dapat dibuktikan dengan mencukupi.

"Sehubungan dengan itu, Seksyen 42A diperkenalkan bagi menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan yang khusus di bawah akta ini,” katanya.

Loke berkata melalui pindaan itu, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap aktiviti tersebut tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.

Beliau berkata sebagai contoh, sekiranya dua atau lebih penunggang motosikal berlumba atau menguji kelajuan sesama sendiri di jalan awam, tindakan boleh diambil di bawah seksyen berkenaan walaupun tiada kemalangan berlaku.

“Begitu juga jika sekumpulan pemandu kenderaan bermotor menggunakan jalan awam untuk menguji kelajuan kenderaan secara tidak sah, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan ini,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata RUU berkenaan turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi menangani kegiatan tonto yang selama ini menjadi cabaran kepada agensi penguat kuasa.

Di bawah seksyen baharu itu, katanya, mana-mana individu yang menghalang, mengganggu, menyerang, mengancam, mengekori kenderaan pegawai penguat kuasa atau menyebarkan maklumat mengenai aktiviti penguatkuasaan boleh dikenakan tindakan.

Ia turut melibatkan tindakan menyebarkan maklumat operasi kepada pihak yang melakukan kesalahan supaya mereka dapat mengelakkan tindakan undang-undang.

“Kesalahan ini boleh dihukum dengan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. Kesalahan ini juga merupakan kesalahan boleh tangkap.

“Pindaan ini bertujuan menutup jurang tersebut supaya operasi penguatkuasaan, khususnya terhadap kesalahan seperti lebih muatan, kenderaan tidak patuh syarat dan kesalahan kenderaan perdagangan, dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurut Loke, pindaan Akta 333 itu juga menyentuh penyelarasan kadar denda minimum, penalti dan had kompaun bagi beberapa kesalahan tertentu dengan peningkatan kadar daripada RM300 kepada RM500, namun tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik.

“Bagi kesalahan yang boleh dikompaun, pindaan ini menaikkan had maksimum tawaran kompaun, manakala kadar sebenar masih tertakluk pada jenis kesalahan, tahap keseriusan kesalahan, tempoh penyelesaian kompaun serta tatacara yang ditetapkan … penguatkuasaan kadar maksimum kompaun baharu ini dicadang untuk dimulakan pada 1 Jan 2029,” katanya.