Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wanita Ditahan Disyaki Tikam Suami Selepas Berlaku Pertengkaran

tikam
Kredit: Bernama

Wanita Ditahan Disyaki Tikam Suami Selepas Berlaku Pertengkaran

Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai menikam suaminya menggunakan pisau dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Datuk Mohammad Musa, Kota Samarahan, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu menyebabkan mangsa, seorang lelaki berusia 35 tahun, mengalami kecederaan pada bahagian perut.

Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat daripada hospital berhubung seorang lelaki yang sedang menerima rawatan selepas dipercayai ditikam isterinya sendiri.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dan suspek merupakan pasangan suami isteri yang telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai tiga orang anak.

“Bagaimanapun, mereka tidak tinggal bersama sejak lebih dua tahun lalu akibat perselisihan faham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan mendapati sebelum kejadian berlaku, pasangan tersebut dipercayai bertengkar dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.

Barry berkata, mangsa dipercayai datang ke rumah sewa suspek sebelum bertindak memukul kepala wanita itu menggunakan topi keledar kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Akibat kejadian itu, suspek yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan di kepala sebelum dipercayai mengambil sebilah pisau dan menikam mangsa yang ketika itu dikatakan mengekorinya masuk ke dalam rumah.

Menurut beliau, insiden tersebut turut disaksikan ibu suspek yang juga ibu mentua mangsa menerusi panggilan video WhatsApp ketika pertengkaran berlaku.

“Suspek mendakwa tindakannya itu dilakukan bagi mempertahankan diri selepas dipukul mangsa,” katanya.

Selepas kejadian, suspek membawa mangsa ke Pusat Jantung Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian perut sehingga menyebabkan sebahagian usus terkeluar dan terpaksa menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan serius pada organ dalaman lain dan kini masih menerima rawatan serta berada di bawah pemantauan pihak hospital.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.