Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

BATU PAHAT, 4 Ogos (Bernama) -- Seorang peniaga tidak menyangka bau busuk semasa membuat kandungan media sosial berkaitan aktiviti memancing di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja dekat sini, semalam membawa kepada penemuan mayat yang dibungkus dan dililit dengan jaring.
Muhamad Zul Fikri Borhanodin, 33, berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi, dia pada awalnya menyangka objek terapung itu ialah bangkai haiwan, namun bau yang terlalu kuat serta keadaan objek berbalut jaring mendorongnya untuk memeriksa dengan lebih dekat.
“Saya tak sangka itu mayat manusia kerana bahagian kepala tidak kelihatan. Namun, perasaan ingin tahu membuatkan saya menghampiri objek berkenaan dan bila diteliti, saya ternampak seluar jean dan terus mengesyaki ia mayat.
“Saya segera menghubungi rakan yang kebetulan berada berhampiran tetapi menaiki bot lain dan turut memaklumkan ketua kampung,” katanya kepada Bernama hari ini.
Muhamad Zul Fikri yang sering memancing di sungai itu sejak kecil berkata ia pengalaman keduanya berhubung penemuan mayat di situ, iaitu selepas mayat individu yang terjatuh ke dalam sungai beberapa tahun lepas.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata tiga lelaki berusia 26 hingga 40 tahun ditahan di sekitar Batu Pahat semalam bagi membantu siasatan penemuan mayat individu lelaki yang dililit dengan jaring itu.
Hoo berkata polis dimaklumkan penemuan mayat itu pada kira-kira 12.30 tengah hari semalam dan siasatan mendapati isteri mangsa membuat laporan pada 29 Julai berhubung kehilangan suaminya di Mutiara Rini, Iskandar Puteri.