Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penyanyi Amerika Syarikat, D4vd didakwa pada Isnin atas pertuduhan membunuh dan memotong tubuh teman wanitanya yang masih remaja.
Memetik AFP, D4vd atau nama sebenarnya David Anthony Burke, 21, berdepan kemungkinan hukuman mati susulan kematian mengerikan Celeste Rivas Hernandez, yang mayatnya ditemui pada September, hanya beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-15.
“Celeste hanyalah seorang kanak-kanak, berusia di bawah 14 tahun, ketika David Burke didakwa terlibat dalam hubungan seksual dan tidak bermoral secara berulang dengannya.
"Apabila dia mengancam untuk mendedahkan perbuatan jenayah tersebut dan memusnahkan kerjaya muziknya, Burke didakwa membunuhnya, memotong tubuhnya dan memasukkan bahagian tubuh itu ke dalam dua beg yang diletakkan di ruang simpanan hadapan keretanya,” kata Peguam Daerah Los Angeles, Nathan Hochman.
Hochman berkata mayat Celeste yang telah dicacatkan itu dibiarkan mereput selama empat bulan sebelum ditemui.
Sementara itu, seorang peguam memasukkan pengakuan tidak bersalah bagi pihak penyanyi itu dalam satu prosiding mahkamah ringkas di Los Angeles pada Isnin.
Burke diarahkan untuk hadir semula ke mahkamah pada Khamis. Kini, dia masih ditahan dalam tahanan.
Peguam artis itu minggu lalu menafikan bahawa anak guam mereka telah membunuh remaja tersebut.
Burke berdepan satu pertuduhan bagi setiap kesalahan iaitu pembunuhan, penderaan seksual berterusan terhadap kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan perbuatan mencacatkan mayat secara menyalahi undang-undang.

Burke mula terkenal di internet pada 2022 apabila lagunya “Romantic Homicide” menjadi hit di TikTok.
Imbas kembali, ketika detektif dipanggil ke sebuah pusat tunda kenderaan di Hollywood selepas jiran-jiran mengadu tentang bau busuk yang kuat dari sebuah kenderaan yang dirampas, dia sedang melakukan konsert jelajah.
Kereta Tesla itu, yang didaftarkan atas nama Burke di Texas, telah diletakkan di tepi jalan di kawasan mewah Hollywood Hills selama kira-kira sebulan sebelum ditunda.
Namun, penyiasat percaya mayat Celeste mungkin telah berada di ruang simpanan hadapan kereta itu jauh lebih lama.
“Keadaan mayatnya menyebabkan pemeriksa perubatan tidak dapat menentukan punca kematian.
“Tempoh masa yang lama antara kematiannya dan penemuan mayat itu menyebabkan bukti penting rosak atau hilang," katanya.
Celeste, yang tinggal di Lake Elsinore di timur Los Angeles, dilaporkan hilang oleh ibunya pada tahun 2024 ketika berusia 13 tahun.