‘Comel tapi ganas’. Itu gambaran tepat kelakuan mamalia laut, ikan lumba-lumba apabila penyelidik tentera laut Amerika Syarikat (US Navy) mengikat kamera pada badan haiwan itu.
Sepanjang rakaman, apa yang berlaku ialah mamalia laut itu ‘beraksi’ seperti haiwan liar di darat yang memakan apa sahaja mangsa yang berada di depan mata mereka.
Dalam video tersebut juga kelihatan ikan lumba-lumba berkenaan sangat seronok berenang menikmati masanya sendiri.

Rakaman selama enam bulan
Menurut Rumble, para penyelidik US Navy memasang enam buah kamera pada enam ekor ikan lumba-lumba berlainan selama enam bulan bagi mengkaji corak tingkah laku haiwan itu semasa bersendirian.
Difahamkan, pada awalnya ikan itu berasa tidak selesa pada badan hingga kelihatan memberi pandangan aneh ke arah kamera.
Dalam pada itu, rakaman itu menunjukkan ikan lumba-lumba menggunakan ekolokasi untuk mencari mangsa dengan menggunakan kaedah mencicit dan berdengung serta menggigit.
Itu menunjukkan bahawa ikan lumba-lumba cenderung untuk menggunakan teknik mengancam yang ganjil semasa memburu mangsa atau buruannya.
Selain memperoleh ‘pemandangan’ menarik perjalanan di dalam laut, penyelidik US Navy juga dapat melihat ikan lumba-lumba itu sering berenang dalam keadaan terbalik untuk melihat dengan baik.
Kenapa pasang kamera & apa fungsi ikan lumba-lumba dalam US Navy?

Sementara itu, tindakan penyelidik memasang kamera pada ikan lumba-lumba bukanlah kerana visual menarik semata-mata, namun ada tujuan penting melibatkan peperangan.
Merujuk Rumble, pada asalnya ikan lumba-lumba dipercayai dilatih untuk mengesan lokasi nuklear dan mencari bom (dipercayai bom di dasar laut yang diletakkan musuh).
Namun akibat sudah ‘letih’ mengajar haiwan itu, maka keputusan terbaik adalah memasang kamera pada badannya dan membiarkannya untuk berenang sendiri sambil dipantau.
Difahamkan, walaupun tentera US mempunyai senjata berteknologi tinggi dalam mengawal nuklear, mereka tetap memilih ikan lumba-lumba untuk menggunakan kebolehan gelombang ultrasoniknya mencari bom di bawah laut.
Gelombang ultrasonik ini dipercayai dipancarkan oleh pantulan dan dianalisis oleh otak ikan lumba-lumba untuk menentukan jenis objek yang dikesan.
Dalam pada itu, tugas lain ikan lumba-lumba juga adalah menjaga pelabuhan daripada kehadiran penyelam pihak musuh.
Prosesnya, apabila menemui sesuatu yang menarik, mereka berenang kembali ke jurulatih mereka untuk mendapatkan transponder supaya penyelam atau musuh boleh ditemui.
Sumber: Rumble
