Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bola sepak sering mendapat medium penyatuan masyarakat serata dunia. Tidak kira lelaki atau perempuan, pasti akan meminati sukan tersebut lagi-lagi ketika ini dunia dihangatkan dengan demam Piala Dunia.
Sudah tentu, topik harian sentiasa dipenuhi dengan perbualan mengenai 'tengok tak match semalam?'
Lebih-lebih lagi, apabila diri sendiri berada di stadium, merasai suasana yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan lemas disebalik lautan manusia.
Bagaimanapun, kita sering disajikan dengan pemandangan yang kurang enak, sampah-sarap pastinya bertaburan di tempat duduk dan kawasan sekitar stadium selepas perlawanan.
Stadium yang pada awalnya bersih telah dipenuhi dengan sampah makanan yang ditinggalkan oleh penonton.
Sungguh pun semangat kesukanan dan penyatuan ditonjolkan, namun tidak ramai yang mempunyai ‘sifat kerjasama’ seperti itu selepas perlawanan selesai berlangsung
Usai perlawanan epik antara Belanda dan Jepun awal pagi tadi di Stadium AT&T, Jepun sekali lagi mencuri perhatian apabila sikap penyokong mereka dilihat mengutip sampah di sekitar kawasan tempat duduk stadium dipercayai selepas perlawanan.
Penyokong negara matahari terbit itu dilihat membawa beg plastik khas untuk mengumpulkan sisa makanan dan minuman yang ditinggalkan selepas perlawanan, sekali gus memastikan kawasan penonton kembali bersih seperti sedia kala.
Tindakan berdisiplin dan penuh tanggungjawab itu mencerminkan budaya kebersihan yang sudah lama sinonim dengan penyokong Jepun di pentas antarabangsa.
Susulan insiden itu, rata-rata warganet meluahkan rasa kagum dan memuji sikap tersebut sebagai satu teladan yang wajar dicontohi oleh penyokong negara lain, khususnya dalam memelihara kebersihan dan imej positif di stadium sukan global.

Budaya yang indah serta sistem pendidikan yang berkualiti turut menjadi antara faktor yang sering dipuji terhadap masyarakat Jepun.
“Banyak perkara boleh dipelajari daripada mereka. Mereka juga sangat berdisiplin,” kata seorang warganet, yang turut menyifatkan sikap tersebut sebagai contoh teladan yang wajar dicontohi.

Dalam aksi Kumpulan F itu, Jepun menampilkan kebangkitan dramatik apabila berjaya menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir perlawanan, sekali gus memaksa Belanda berkongsi mata dengan keputusan seri 2-2.

Terdahulu di Piala Dunia Qatar 2022, penyokong Jepun turut mencuri perhatian apabila mengutip sampah selepas perlawanan Jepun menentang Jerman yang berakhir dengan kemenangan 2-1 berpihak kepada Jepun.
Walaupun mencatat kemenangan ke atas Jerman, penyokong Jepun kekal dengan tradisi mereka untuk membersihkan kawasan stadium selepas perlawanan, sekali gus menerima pujian meluas di seluruh dunia.