Perancis dilaporkan telah menggubal satu undang-undang baharu berkaitan kes buli di sekolah bermula Februari tahun depan. Ia menjadi kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Memetik laporan Vice, undang-undang baharu itu dibentangkan selepas beberapa kes buli yang tragik menjadi tajuk utama di negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ahli parlimen Perancis dikatakan telah mengundi undang-undang itu minggu lalu dan majoriti pakatan pemerintah Presiden Emmanuel Macron menyokong usaha tersebut.
Difahamkan, undang-undang itu akan terpakai kepada kanak-kanak dan orang dewasa di sekolah dan universiti.
Menerusi undang-undang itu, pesalah boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga €45,000 (RM214,523). Manakala, jika mangsa membunuh diri, hukuman boleh meningkat kepada 10 tahun dengan denda sehingga €150,000 (RM715,077).
Undang-undang itu telah diluluskan oleh dewan rendah Parlimen Perancis, Perhimpunan Kebangsaan pada Rabu dan kini perlu diluluskan Dewan Negara.
Tindakan buli telah memberi kesan kepada 700,000 kanak-kanak di sekolah Perancis setiap tahun. Sebagai contoh, seorang pelajar berusia 14 tahun dilaporkan telah membunuh diri selepas dibuli di sekolahnya pada Oktober lalu.
Sumber: Vice