Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perancis Sahkan Kes Ebola Pertama

EBOLA
Kredit: AFP

Perancis Sahkan Kes Ebola Pertama

Perancis mengesahkan kes pertama Ebola di negara itu melibatkan seorang doktor yang baru pulang daripada misi kemanusiaan di Democratic Republic of the Congo, lapor BBC.

Kementerian Kesihatan Perancis memaklumkan doktor terbabit telah dimasukkan segera ke sebuah fasiliti rawatan khas dan kini berada dalam keadaan stabil.

Kes tersebut menjadi kes Ebola pertama yang disahkan di benua Eropah, sekali gus mencetuskan perhatian global terhadap penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan Perancis menegaskan risiko penularan kepada orang awam ketika ini adalah sangat rendah.

Wabak Ebola di Congo diumumkan bulan lalu, namun pakar percaya virus itu telah mula menular lebih awal sebelum pengesahan rasmi dibuat.

Setakat ini, lebih 260 kematian direkodkan di negara Afrika tengah itu dengan kira-kira 1,000 kes jangkitan disahkan.

Selain Congo, negara jiran iaitu Uganda turut merekodkan kes Ebola dengan sekurang-kurangnya 20 jangkitan dan dua kematian setakat ini.

Ketua World Health Organization, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, risiko penularan ke negara lain masih rendah dan orang ramai tidak perlu panik.

Dalam masa sama, usaha mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan doktor terbabit sedang dijalankan bagi mengelakkan sebarang risiko penyebaran.

Menurut WHO, petugas kesihatan merupakan antara golongan paling berisiko dijangkiti memandangkan virus Ebola merebak melalui cecair badan.

Minggu lalu, WHO memaklumkan seramai 17 daripada 75 petugas kesihatan yang dijangkiti Ebola di Congo telah meninggal dunia.

Wabak kali ini dilaporkan berpunca daripada spesies Bundibugyo, iaitu varian Ebola yang sehingga kini masih belum mempunyai vaksin khusus.

Pihak berkuasa Perancis turut memaklumkan sistem pemantauan khas telah diwujudkan bagi memantau petugas bantuan kemanusiaan yang pulang dari Congo sebagai langkah pencegahan awal.

Sumber:BBC