Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang pelanggan mendakwa menemui ulat pada lauk ayam yang dibeli daripada sebuah vendor makanan di Hospital Melaka, sekali gus mencetuskan perhatian ramai selepas perkongsian itu tular di media sosial.
Dakwaan tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @pvtnaddy yang memuat naik gambar dipercayai menunjukkan kehadiran ulat pada bahagian kulit ayam berkenaan.
Menurut pemilik akaun itu, rakannya hanya menyedari perkara tersebut selepas menggigit makanan itu sebelum memeriksa lebih lanjut pada bahagian ayam berkenaan.
Menerusi perkongsian itu, dia meluahkan rasa kecewa dan meminta peniaga lebih bertanggungjawab dalam memastikan kebersihan makanan yang dijual kepada pelanggan.
Katanya, rakannya membeli lauk tersebut pada harga RM8 sebelum mendapati terdapat sesuatu yang mencurigakan pada bahagian kulit ayam ketika sedang makan.
Perkongsian itu pantas menarik perhatian pengguna media sosial dengan ramai meluahkan rasa jijik selain mempersoalkan tahap kebersihan makanan yang dijual di kawasan hospital.
Seorang lagi pengguna Threads turut meminta pihak berkaitan mengambil tindakan segera dan melakukan pemeriksaan terhadap vendor terbabit bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak vendor, pengurusan Hospital Melaka mahupun Jabatan Kesihatan Negeri Melaka berhubung dakwaan yang tular itu.