Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tindakan dua pemandu yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah berhampiran sebuah sekolah mengundang kecaman orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi satu perkongsian di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @rmh.ri, kejadian tersebut dipercayai berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra, Selangor.
Dalam rakaman dashcam yang dimuat naik semalam, kelihatan sebuah Perodua Myvi dan Nissan Almera pada awalnya memperlahankan kenderaan ketika melalui bonggol berhampiran lampu isyarat.
Bagaimanapun, sebaik melepasi bonggol tersebut, pemandu Myvi dilihat terus memecut meskipun lampu isyarat sudah bertukar merah.
Tidak lama kemudian, sebuah Nissan Almera yang berada di belakang turut bertindak mengikut langkah sama dengan meneruskan perjalanan tanpa berhenti.
Apa yang lebih membimbangkan, ketika kejadian berlaku, sekumpulan murid sekolah dilihat sedang melintas jalan menggunakan laluan zebra di kawasan berkenaan.
Walaupun tiada sebarang kemalangan dilaporkan, tindakan dua pemandu terbabit dianggap berbahaya dan boleh mengundang risiko besar terhadap keselamatan pelajar.
Pemilik rakaman meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pengguna jalan raya yang dilihat tidak mematuhi peraturan meskipun melibatkan kawasan sekolah.
“Lampu merah itu tanda berhenti. Tambahan pula budak sekolah sedang melintas. Tindakan macam ini memang membahayakan,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati dan mendakwa kejadian seumpama itu kerap berlaku di kawasan berkenaan terutama ketika waktu puncak.
Rata-rata berpendapat sikap mementingkan diri sendiri di jalan raya perlu dihentikan sebelum berlaku tragedi yang tidak diingini.