Bagi sesetengah orang, melihat kelip-kelip mungkin mengingatkan mereka kepada zaman kanak-kanak ketika suasana kampung masih dikelilingi kehijauan alam dan kawasan yang belum diterangi lampu.
Serangga itu sangat unik kerana menghasilkan cahaya yang menarik perhatian.
Namun, di kala manusia disibukkan dengan kepesatan teknologi dunia, ramai yang tidak sedar bahawa serangga itu kini sudah jarang dilihat.
Sebenarnya terdapat tanda-tanda bahawa anak-anak kita atau generasi akan datang mungkin tidak berpeluang menikmati kenangan yang sama seperti yang pernah kita alami.
Hal ini kerana kelip-kelip semakin menghilang dari kawasan paya, padang dan hutan di seluruh dunia.
Menurut pakar, populasi pelbagai spesies kelip-kelip di seluruh dunia sememangnya sedang mengalami penurunan.
Spesies kelip-kelip
Untuk pengetahuan, terdapat lebih 2,600 spesies kelip-kelip di seluruh benua kecuali Antartika.
Setakat laporan National Geographic pada 2025, para saintis hanya menilai status pemuliharaan bagi 150 spesies, iaitu kurang daripada tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan.
Pengerusi Bersama Kumpulan Pakar Kelip-Kelip Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN Firefly Specialist Group), Wan Faridah Akmal Jusoh berkata daripada 150 spesies kelip-kelip tersebut, sebanyak 20 peratus sudah pun berdepan ancaman kepupusan.
Walaupun beberapa spesies telah dikaji secara mendalam dan saintis mengetahui bahawa sebahagiannya mengalami penurunan populasi di seluruh dunia, penyelidik masih kekurangan maklumat asas mengenai kebanyakan spesies kelip-kelip.
“Kita hanya mengetahui nama spesies sahaja bagi kebanyakan kelip-kelip,” katanya.
Menurutnya, dalam banyak keadaan, maklumat tersebut hanya diperoleh melalui spesimen yang disimpan di muzium.
Apa yang dimakan oleh kebanyakan spesies kelip-kelip, di mana dan bagaimana ia hidup, malah sama ada sesetengah spesies sudah pupus, masih menjadi misteri.
Kekurangan pengetahuan ini menjadi cabaran besar dalam usaha pemuliharaan.
Bagi mengatasi kekurangan maklumat tersebut, para saintis dalam Kumpulan Pakar Kelip-Kelip mula menjalankan kajian terhadap perkara berkenaan.
Menurut Faridah, usaha itu bermula secara rasmi pada 2018 dan kumpulan tersebut kini menjalankan pemantauan terhadap populasi kelip-kelip di seluruh dunia.

Kenapa kita dah jarang nampak kelip-kelip?
Tiada siapa yang mengetahui punca sebenar. Bagaimanapun, kebanyakan penyelidik mengaitkan fenomena ini dengan dua faktor utama, iaitu pembangunan dan pencemaran cahaya.
Menurut Firefly Research & Conservation, kebanyakan spesies kelip-kelip hidup dan membesar pada peringkat larva di dalam kayu reput serta timbunan daun dan bahan organik di lantai hutan, khususnya di kawasan berhampiran kolam dan anak sungai.
Apabila membesar, kelip-kelip lazimnya akan terus tinggal di kawasan tempat ia dilahirkan.
Sesetengah spesies lebih bergantung kepada persekitaran berair berbanding spesies lain, manakala sebilangan kecil pula boleh ditemui di kawasan yang lebih kering.
Namun, kebanyakannya hidup di padang, hutan dan kawasan paya.
Habitat pilihan kelip-kelip ialah kawasan yang panas, lembap dan berhampiran sumber air bertakung seperti kolam, anak sungai, sungai atau kawasan tanah rendah yang dapat menakung air lebih lama berbanding kawasan sekitarnya.
Apabila habitat semula jadi kelip-kelip musnah akibat pembangunan kawasan perumahan dan komersial, populasinya turut berkurangan.
Selain itu, aktiviti pembalakan, pencemaran dan peningkatan penggunaan racun perosak juga mungkin menyumbang kepada kemusnahan habitat serta sumber makanan semula jadi kelip-kelip.
Aktiviti manusia turut dipercayai mengganggu habitat serangga berkenaan.
Walaupun kajian saintifik mengenai perkara ini hanya dijalankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat banyak bukti berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penduduk di kawasan yang dahulunya dipenuhi kelip-kelip, malah ada yang diwarisi sejak beberapa generasi.
Sesetengah kawasan sebelum ini mempunyai populasi kelip-kelip yang begitu banyak sehingga mampu menjana pendapatan melalui aktiviti pelancongan melihat kelip-kelip di kawasan paya dan hutan.
Bagaimanapun, apabila aktiviti dan kehadiran manusia semakin meningkat, populasi kelip-kelip di kawasan berkenaan dilaporkan semakin berkurangan.
Para saintis masih belum mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai kelip-kelip untuk menentukan punca sebenar fenomena tersebut.
Namun, petunjuk yang ada menunjukkan bahawa pencemaran cahaya mungkin menjadi antara faktor utama yang menyebabkan kelip-kelip semakin menghilang di seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, penyelidik mengakui sukar untuk menentukan bila sebenarnya penurunan populasi itu bermula berikutan kekurangan data sejarah.

Ketua Program Kelip-Kelip di Xerces Society for Invertebrate Conservation, Candace Fallon berkata Asia Tenggara dan Eropah mempunyai set data yang lebih besar berbanding Amerika Utara.
Ia berdasarkan hasil pemantauan yang dijalankan selama sekurang-kurangnya satu dekad.
Justeru, jika ada sebilangan kecil serangga itu singgah di rumah anda, jangan ditangkap atau dibunuh.
Cukuplah sekadar menikmati keindahan cahaya yang dihasilkan tanpa perlu 'menyumbang' kepada kepupusannya.
