IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak terus memantau seekor gajah liar jantan dewasa yang dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik sejak 17 Ogos lepas, dengan menggiring gajah itu kembali ke kawasan hutan.
Perhilitan Perak dalam kenyataan memaklumkan gajah berkenaan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan, namun tingkah laku mamalia itu adalah normal selain mampu bergerak dengan baik.
“Hasil pemantauan mendapati keadaan luka yang dialami semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Perhilitan telah mengambil tindakan menggiring gajah itu kembali ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya.
“Memandangkan gajah berkenaan masih kembali ke kawasan jalan raya, pemantauan dan tindakan menggiring akan diteruskan setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam,” menurut kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi agensi berkenaan.
Semalam, tular beberapa video di media sosial memaparkan gajah berkenaan yang dipercayai bernama Sulong Chalil sedang berjalan di bahu JRTB dipercayai dirakam oleh orang awam yang menggunakan laluan berkenaan.
Gajah berkenaan dikatakan berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum dipindahkan ke kawasan hutan di Gerik dalam operasi translokasi Perhilitan namun dipercayai bergerak semula menghala ke kawasan asalnya melalui laluan berkenaan.
Sementara itu, Perhilitan Perak memaklumkan pihaknya turut memperkukuh kesiapsiagaan anggota di lapangan termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal serta kecederaan gajah berkenaan dan keperluan tindakan susulan.
Selain itu, pengguna JRTB, khususnya di sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di hentian berkenaan dari kedua-dua arah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Pengguna hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas Perhilitan sekiranya berada di kawasan pemantauan serta tidak mengambil gambar atau merakam video gajah kerana tindakan itu boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.
“Sekiranya berdepan dengan hidupan liar termasuk gajah, pengguna jalan raya perlu peka dengan tidak berhenti atau keluar daripada kenderaan jika hidupan liar berada di bahu jalan dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau apa jua bentuk provokasi,” menurut kenyataan itu.

