Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Empat keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kemalangan ketika menghadiri Program RXZ Member 8.0 bakal menerima manfaat perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
PERKESO dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, hasil semakan yang dijalankan oleh Skuad PERKESO Prihatin mendapati empat mangsa yang maut dalam kemalangan berasingan pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Menurut PERKESO, kesemua mangsa yang berusia antara 20 hingga 47 tahun itu layak menerima pelbagai faedah mengikut skim perlindungan yang mereka carumi sepanjang tempoh bekerja.
Bagi kes pertama, Allahyarham Mohd Fauzi Othman, 44, yang maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Terengganu pada 31 Julai lalu, warisnya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) serta Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan.
“Waris Allahyarham iaitu balu dan lima anaknya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar bagi menampung kos pengurusan jenazah.
“Selain itu, Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,794.58 sebulan mengikut syer masing-masing akan dibayar kepada balu sepanjang hayat, manakala anak-anak sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian di peringkat ijazah pertama,” katanya.
Menurut PERKESO, balu dan tiga anak Allahyarham Zulkanain Mat Said, 39, yang maut dalam kemalangan di Gambang pada hari sama turut layak menerima FPM sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,840.13 sebulan mengikut syer masing-masing.
Katanya, balu Allahyarham akan menerima pencen berkenaan sepanjang hayat, manakala anak-anak layak menerimanya sehingga berusia 21 tahun atau menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama.
Sementara itu, waris Allahyarham Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 258.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Terengganu pada 1 Ogos lalu pula disahkan layak menerima manfaat di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.
Menurut PERKESO, memandangkan Allahyarham belum berkahwin, warisnya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 serta Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM1,115.10 sebulan.
“Faedah Orang Tanggungan itu akan disalurkan mengikut syer masing-masing kepada ibu dan bapa Allahyarham sepanjang hayat, manakala tiga adiknya sehingga berusia 21 tahun.
“Jika dihitung bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang, jumlah keseluruhan Faedah Orang Tanggungan yang akan diterima waris dianggarkan melebihi RM260,000,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, PERKESO berkata, Durulmaizi Salamon, 47, yang cedera pada bahagian bahu dan kaki kanan dalam kemalangan di Kilometer 294 LPT2, Kemaman pada 31 Julai lalu turut disahkan sebagai pencarum aktif Skim LINDUNG 24 Jam.
Katanya, mangsa layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berdasarkan tempoh cuti sakit yang disahkan serta Bayaran Ganti Belanja bagi membiayai kos rawatan di hospital.
Bagaimanapun, menurut PERKESO, suami kepada Durulmaizi yang meninggal dunia dalam kemalangan sama tidak layak menerima faedah kerana bukan pencarum aktif.
“Walaupun begitu, kes berkenaan telah dirujuk kepada agensi berkaitan menerusi inisiatif Social Synergy bagi membantu waris yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, PERKESO menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa dan berharap mereka terus tabah menghadapi dugaan.
PERKESO turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya serta mendapatkan perlindungan sosial yang sewajarnya.
“Fahamilah bahawa caruman ini bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi merupakan tanggungjawab bagi melindungi masa depan anak-anak dan waris yang ditinggalkan.
“PERKESO akan terus menjadi rakan perlindungan kepada rakyat ketika berdepan kesusahan akibat kemalangan,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan