Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perkhidmatan Bot Labuan-Lawas Dihentikan Sementara

bot labuan lawas
Gambar: BERNAMA

Perkhidmatan Bot Labuan-Lawas Dihentikan Sementara

LABUAN, 14 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan bot penumpang Labuan-Lawas, Sarawak yang telah beroperasi lebih tiga dekad dihentikan sementara untuk tempoh tiga bulan bermula hari ini. Pengendali perkhidmatan itu, RPL Shipyard Co memaklumkan kepada LDA Holdings Sdn Bhd bahawa penggantungan tersebut akan berkuat kuasa hingga 14 Okt.

Menurut syarikat itu, penggantungan tersebut berpunca daripada masalah bekalan diesel yang masih belum diselesaikan, peningkatan kos operasi serta kadar tambang yang tidak lagi mencukupi untuk menampung operasi.

Perkhidmatan pengangkutan laut yang berpatutan itu sejak sekian lama menjadi pilihan pelajar dari Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Labuan, khususnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Matrikulasi Labuan.

Ia juga banyak digunakan oleh penduduk Lawas dan kawasan sekitarnya yang melakukan perjalanan ke Labuan bagi mendapatkan rawatan di Hospital Labuan.

LDA Holdings Sdn Bhd, syarikat pengurusan Terminal Feri Antarabangsa Labuan mengesahkan pihaknya telah menerima notis daripada pengendali berkenaan mengenai penggantungan sementara itu melalui surat.

“Saya akan bertemu dengan pengendali berkenaan esok untuk membincangkan isu-isu berkaitan dan meneroka langkah seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holdings Noor Halim Zaini kepada Bernama hari ini.

Menurut surat berkenaan, RPL Shipyard memaklumkan masalah bekalan diesel yang masih belum diselesaikan telah menjejaskan kelancaran operasi botnya.

Pengendali itu turut menyatakan peningkatan berterusan dalam perbelanjaan operasi, khususnya kos tenaga kerja dan penyelenggaraan, manakala tambang penumpang sedia ada tidak mampu menampung operasi harian serta keseluruhan kos.

Syarikat itu memaklumkan penggantungan sementara itu perlu bagi menstabilkan kedudukan kewangan serta menyusun semula operasinya, sambil berharap perkhidmatan berkenaan dapat disambung semula apabila keadaan bertambah baik.

Sumber:BERNAMA