Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Permasyhuran Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah Jadi Pemangkin Perubatan Rehabilitasi Negara

PUSAT

Permasyhuran Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah Jadi Pemangkin Perubatan Rehabilitasi Negara

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Pusat Rehabilitasi Neuro Robotik dan Sibernik Kebangsaan PERKESO, dengan memasyhurkannya sebagai Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah. 

Fasiliti terbesar di Asia Tenggara ini menjadi mercu tanda baharu dan pemangkin dalam bidang perubatan rehabilitasi negara, yang antara lain menggabungkan elemen warisan budaya negeri Perak menerusi seni kraf Tekat Timbul Benang Emas serta reka bentuk futuristik moden. 

Mula dibina pada 2 Mei 2022, fasiliti di atas tanah seluas 38.47 ekar ini siap sepenuhnya dalam tempoh hampir empat tahun merangkumi 13 blok utama termasuk kemudahan penginapan, Traditional and Complementary Medicine Centre (TCMC) serta Motorcycle Safety Training Track (MSTT) di bawah Centre for Applied Prevention in Social Security (CAPSS). 

Sejurus selepas menyempurnakan titah perasmian dan menandatangani plak, Sultan Nazrin turut berkenan meninjau fasiliti itu yang dilengkapi teknologi robotik terkini dari Jepun, hasil kerjasama strategik antara PERKESO dan Cyberdyne Japan. 

Turut berkenan berangkat pada majlis sama ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah. 

Terdahulu, keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan. 

Ramanan ketika menyampaikan ucapan berkata pusat rehabilitasi itu akan menjadi hab terbesar di rantau ini dan pusat kecemerlangan bagi rehabilitasi serta Program Return To Work (RTW) di peringkat global. 

”Antara kemudahan canggih yang disediakan termasuk perkhidmatan neuro-robotik dan sibernik yang menggunakan teknologi Cyberdyne Hybrid Assistive Limb, Metamotus Galileo Advanced Biomechanics Rehabilitation Platform, dan Advanced Movement Analysis Laboratory. 

”Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah dilengkapi 65 unit peralatan Cyberdyne, meliputi Lower Limb, Single Joint, dan Lumbar menjadikan pusat ini sebagai pusat terbesar dengan bilangan unit Hybrid Assistive Limb terbanyak di dunia. 

”Selain itu, Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah menyediakan 151 jenis perkhidmatan rehabilitasi komprehensif merangkumi rehabilitasi pediatrik, geriatrik, Advanced RTW, serta rehabilitasi vokasional,” menurut kenyataan PERKESO.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, kewujudan pusat ini amat signifikan selaras perluasan perlindungan PERKESO yang lebih komprehensif seperti LINDUNG 24 Jam dan melalui Akta Pekerja Gig 2025, sekali gus bakal menyaksikan lonjakan kadar tuntutan dijangka sehingga 200 peratus berbanding 170,000 kes setahun sebelum ini. 

“Peningkatan ini menuntut kapasiti perkhidmatan rehabilitasi lebih canggih dan bersepadu bagi memastikan pencarum mendapat sokongan menyeluruh untuk kembali pulih serta kekal produktif tanpa mengira sektor pekerjaan mereka.

”Sejak mula beroperasi secara berperingkat pada 22 Julai 2025 sehingga kini, seramai 1,095 pesakit menerima rawatan merangkumi kes-kes utama seperti kecederaan muskuloskeletal, penyakit khidmat, kecederaan saraf tunjang serta penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti strok. 

“Dengan kapasiti rawatan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa, fasiliti ini mampu menampung pesakit sehingga 3,000 individu setiap tahun, sekali gus memperkukuh keberkesanan program RTW PERKESO yang berjaya membantu lebih 100,900 individu kembali bekerja sejak 2007,” katanya.