Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Permintaan Meningkat, Operasi Pembenihan Awan Diperluas Ke Beberapa Negeri - METMalaysia

BERNAMA
Pembenihan Awan
Kredit: Bernama

Permintaan Meningkat, Operasi Pembenihan Awan Diperluas Ke Beberapa Negeri - METMalaysia

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) kini diperluas ke beberapa negeri susulan peningkatan permintaan daripada kerajaan negeri yang berdepan dengan penyusutan paras empangan sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata setakat ini, OPA dilaksanakan di kawasan yang dikenal pasti kritikal, khususnya melibatkan negeri di utara dan selatan Semenanjung.

Beliau berkata lima negeri, iaitu Perlis, Kedah, Perak, Melaka dan Johor telah mengemukakan permohonan bagi pelaksanaan operasi berkenaan susulan paras empangan yang semakin menyusut di kawasan masing-masing.

“Permohonan dibuat oleh kerajaan negeri melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan MetMalaysia bertindak sebagai agensi teknikal yang melaksanakan OPA,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata keadaan cuaca semasa dilihat menyokong pelaksanaan operasi berkenaan memandangkan negara kini berada dalam fasa peralihan monsun yang bermula pada 29 Mac lepas.

Beliau berkata fasa itu berpotensi menggalakkan pembentukan awan ribut petir, sekali gus membantu keberkesanan OPA untuk menghasilkan hujan di kawasan sasaran bagi meningkatkan semula paras air empangan, dengan fasa berkenaan dijangka berterusan hingga Mei ini.

Menyentuh tentang status cuaca panas, beliau berkata setakat semalam, terdapat satu kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 2, iaitu Gelombang Haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Lapan kawasan lain berada pada Tahap 1 (Status berjaga-jaga), iaitu bacaan suhu maksimum harian pada 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. MetMalaysia menjangkakan keadaan cuaca panas ini boleh berterusan hingga Jun 2026,” katanya.

Seorang pengguna Facebook, Mohd Nizam Zam meluahkan rasa syukur dengan menyatakan bahawa hujan lebat di beberapa kawasan di Alor Setar, Kedah menjadikan cuaca pagi tadi agak dingin.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Kasih Miera, turut berkongsi bahawa kawasan utara Perak mengalami hujan lebat pada malam sebelumnya.