Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Syarikat persendirian yang menggunakan kenderaan jenis jip dan pikap kini boleh memohon pendaftaran di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bermula hari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan kelayakan itu melibatkan sektor baharu pengangkutan darat dan menjadi tambahan kepada dua sektor sedia ada di bawah skim berkenaan.
Menurut beliau, dua sektor terbabit ialah Sektor Pengangkutan Darat (Awam) serta Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).
Katanya, dengan penambahan sektor baharu itu, jumlah keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang terlibat di bawah SKDS kini meningkat kepada 35.
“Bagi sektor baharu iaitu pengangkutan darat syarikat yang menggunakan jip dan pikap, permohonan pendaftaran dibuka bermula hari ini (3 Julai) dan kelayakan subsidi akan berkuat kuasa mulai 15 Julai 2026, tertakluk kepada kelulusan serta pemilikan fleet card,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata, menerusi SKDS, subsidi diesel disalurkan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang layak melalui penggunaan fleet card berdasarkan kadar kuota tetap mengikut jenis badan, kelas kegunaan dan kategori teknikal kenderaan.
Jelasnya, bagi sektor baharu itu, syarat kelayakan menetapkan kenderaan perlu berdaftar sebagai kenderaan perniagaan dengan kelas atau kod kegunaan persendirian syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Selain itu, katanya, perniagaan juga perlu didaftarkan di bawah pemilikan tunggal atau perkongsian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftaran Pihak Berkuasa Tempatan bagi Sabah dan Sarawak.
“Subsidi ini disasarkan untuk memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal dan perkongsian,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan menggesa pemilik perniagaan yang memenuhi syarat supaya membuat permohonan segera menerusi portal MySubsidi bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel sebaik skim itu berkuat kuasa.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Budi Diesel Madani (Budi Diesel) yang bermula Rabu lalu membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter berbanding harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh 1 hingga 8 Julai ini.
Menurutnya, pelaksanaan itu setakat ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara, melibatkan 400,000 pemilik di Semenanjung serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan.