Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pernah Jadi Penghantar Surat, Cabaran Kuatkan Zaim Bina Syarikat Bas Sendiri
Kejayaan tidak pernah datang bergolek, ia diiringi dengan usaha, jerih perih, tangisan dan doa penuh harapan. Walaupun perjalanan ke arah itu mungkin terasa sunyi dan penuh likunya, namun sikap tidak berputus asa menjadi ‘peneman’ yang paling bermakna.
Justeru, bila melihat kejayaan seseorang, ketahuilah bahawa proses untuk mencapainya bukan semudah yang disangka.
Ini Kisah Aku pada kali ini akan mengungkap perjalanan di sebalik kejayaan perniagaan bas Zaim Express.
Pemiliknya, Ahmad Zaim Ghazali, 36, terpaksa melalui pelbagai fasa mencabar sebelum mencapai tahap seperti hari ini.
Berasal dari Kelantan, Zaim kehilangan ibunya ketika berusia empat tahun dan bapanya ketika 17 tahun.
Menurutnya, minat untuk berniaga muncul sejak di zaman sekolah lagi. Ketika itu dia pernah menjual burger di tepi jalan.
Apabila di Universiti Utara Malaysia (UUM), alumni Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan itu berniaga sewa kereta dan membuat bisnes hartanah secara kecil-kecilan.
Idea untuk memiliki perniagaan bas sendiri tercetus ketika dia sedang melakukan latihan industri di Sime Darby Property.
Dia pada awalnya menyangka bahawa proses untuk memulakan bisnes adalah mudah. Namun, sebenarnya banyak onak duri yang perlu dilaluinya terlebih dahulu.
“Masa latihan industri itu saya dah kaji berkaitan bisnes ini dan selepas habis latihan industri dan belajar baru saya memulakan langkah untuk melakukannya.
“Sangkaan saya untuk mulakan bisnes ini adalah mudah, rupa-rupanya banyak cabaran yang menanti,” katanya.
Bukan sahaja datang dari keluarga yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan, Zaim juga menghadapi kekangan modal untuk memulakannya.
Pada usia 23 tahun, dia perlu memikirkan cara untuk mendapatkan modal sekitar RM500,000 hingga RM1 juta bagi sebuah bas.

“Tambahan pula, ketika itu lesen bas ekspres dibekukan oleh pihak kerajaan kerana terdapat kuota untuk mendapatkan lesen tersebut.
“Saya mohon pada 2013 dan mendapat lesen tersebut pada tahun 2018,” katanya.
Ketika tempoh ini, dia tidak pernah berputus asa dengan impiannya dan tetap yakin akan berjaya suatu hari nanti.
Bahkan, dia pernah bekerja sebagai penghantar surat dan runner sepanjang tempoh tersebut.
Katanya kepada SK, fasa ini membuatkannya belajar mengenai erti kesusahan, tetapi dalam masa yang sama membuka peluang kepadanya untuk berkenalan dengan pelbagai jenis orang termasuk ahli perniagaan.

“Kuncinya adalah sabar dan saya selalu yakin dengan Allah, siapa berusaha Allah pasti bantu.
“Walaupun ada ijazah, jangan malu untuk mencari kerja yang halal. Insha Allah ada hikmah setiap apa yang berlaku. Pada masa itu, saya kenal ramai orang terutama dalam kerajaan dan juga ahli perniagaan,” katanya.
Pun begitu, apabila dia sudah berjaya mendapatkan lesen, masalah lain pula datang menjengah. Selama lebih dua tahun dia berusaha untuk mendapatkan pinjaman tetapi masih gagal dek kerana syarikatnya masih baharu.
Itu juga tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, dia melakukan ikhtiar yang terakhir iaitu mencari modal untuk membeli bas terpakai secara tunai.

Berbekalkan sebuah bas terpakai itu, dia akhirnya berjaya memulakan operasi pada tahun 2020.
Tetapi cabaran baharu pula muncul apabila negara dilanda pandemik Covid-19 pada ketika itu, yang menyaksikan perintah kawalan pergerakan dikuat kuasakan di seluruh negara.
Selepas melalui fasa tersebut, Zaim Express masih lagi bertahan dan menginjak ke tahun 2024 hingga 2025, syarikat itu mempunyai sebanyak tujuh buah bas yang baharu.

Ditanya mengenai caranya mengawal emosi dan tekanan ketika berdepan cabaran-cabaran tersebut, Zaim berkata dia yakin setiap usaha yang dilakukannya akan membuahkan hasil.
“Berusaha, berdoa dan bertawakal, saya yakin kalau berusaha pasti ada jalannya,” ujarnya.

Kini, Zaim Express dalam proses untuk menambah sekitar 15 hingga 20 buah bas. Syarikat yang bertapak di Petaling jaya dan mempunyai depoh di Kubang Kerian, Kelantan itu kini mempunyai seramai 30 orang pekerja.
Isterinya, Intan Syamimi Yusof, 35, juga membantu menguatkan lagi perjalanan bisnes itu sebagai pengarah syarikat. Zaim juga merujuk isterinya jika ada apa-apa berkaitan undang-undang kerana isterinya juga merupakan seorang peguam.
Walaupun kini sudah dilihat stabil, Zaim juga menanam impian yang lebih besar untuk syarikatnya bagi tahun-tahun mendatang.
Menurutnya, definisi sebenar kejayaannya adalah apabila Zaim Express sudah ada di seluruh negara dan menjadi antara pilihan utama rakyat Malaysia.
“Jumlah bas juga salah satu definisi kejayaan yang mana makin banyak bilangan bas, syarikat makin stabil,” katanya.
Buat masa ini, laluan bas Zaim Express hanya tersedia dari Lembah Klang ke Pantai Timur sahaja.
“Zaim Express akan meluaskan laluan ke Utara dan Selatan dalam masa terdekat nanti,” jelasnya.


Tambahnya lagi, dia mempunyai perancangan untuk meluaskan laluan ke luar negara seperti Singapura dan Thailand. Dia juga berharap untuk memiliki 100 hingga 150 buah bas menjelang 2035.
Dalam masa yang sama, dia turut mengimpikan agar perniagaannya itu mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Bagi anak muda atau mereka yang sedang berada di titik paling bawah dalam hidup, Zaim menitipkan pesan istimewa buat anda.
“Teruskan berusaha dan capai apa yang diimpikan, perlu tahu Allah suka umatnya yang berusaha. Tetap mulakan walaupun pahit akan mendatang,” katanya mengakhiri temubual.
Semoga kisah Zaim ini memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk terus berusaha dan tidak berputus asa mengejar impian masing-masing.