Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pertamina Tegaskan Bekalan Bahan Api, LPG Stabil

Pertamina
Kredit: Bernama

Pertamina Tegaskan Bekalan Bahan Api, LPG Stabil

JAKARTA, 2 Mac (Bernama) -- Syarikat tenaga nasional Indonesia, Pertamina memberi jaminan bahawa bekalan bahan api dan gas petroleum cecair (LPG) negara itu mencukupi untuk orang ramai, walaupun ketegangan geopolitik semakin memuncak di Timur Tengah.

Naib Presiden Komunikasi Korporat Pertamina Muhammad Baron berkata syarikat itu sentiasa memantau perkembangan tenaga global dan telah menjalankan usaha mitigasi untuk memastikan aliran rantaian bekalan global lancar serta melindungi daya tahan tenaga negara.

“Sebagai syarikat tenaga bersepadu, Pertamina mempunyai portfolio pelbagai minyak mentah, produk bahan api dan sumber bekalan LPG, baik daripada pengeluaran domestik dan daripada pelbagai negara rakan kongsi.

“Kepelbagaian ini memberikan fleksibiliti dalam pengurusan bekalan ketika ketegangan geopolitik,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad berkata Pertamina juga sedang mengoptimumkan operasi penapisan domestik untuk mengekalkan keseimbangan antara pengeluaran dan pengedaran.

“Dengan pengurusan bekalan bersepadu dari huluan ke hiliran, syarikat memastikan ketersediaan bahan api dan LPG untuk orang ramai kekal terjamin, mencukupi dan terkawal.

“Sebagai barisan hadapan tenaga negara, Pertamina mengetatkan pengawasan dan berusaha untuk memastikan ketahanan bekalan minyak mentah, bahan api dan LPG kekal terjamin bagi memenuhi keperluan semua rakyat Indonesia,” katanya.

Muhammad berkata Pertamina telah mengenal pasti tiga unit perniagaan strategiknya yang terdedah secara langsung kepada ketegangan di rantau itu.

Ini, katanya, termasuk PT Pertamina International Shipping khususnya aktiviti pengangkutan tenaga global bebas, Pertamina Internasional EP yang mengendalikan aset minyak dan gas huluan di Basra, Iraq dan PT Pertamina Patra Niaga yang bertanggungjawab atas pemerolehan minyak mentah dan produk petroleum daripada sumber di Timur Tengah.

“Semua kakitangan, operasi dan armada yang terletak di kawasan Timur Tengah sedang dipantau rapi.

“Pertamina juga telah menyediakan langkah mitigasi risiko dan memperkukuh komunikasi dengan Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Indonesia, Konsulat Jeneral Indonesia dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan anak kapal,” katanya.

Sumber:BERNAMA