Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Chokepoint” Paling Penting, Kenapa Penutupan Selat Hormuz Mampu Gugat Perdagangan Minyak Dunia?
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan laut paling strategik di dunia, dan peranannya kini menjadi tumpuan utama dalam konflik antara Iran dan kuasa antarabangsa seperti Amerika Syarikat dan Israel.
Antara perkara yang paling merisaukan ialah kemungkinan Iran menutup Selat Hormuz, satu laluan laut yang amat penting bagi perdagangan minyak dunia.
Menurut Sky News, negara-negara di Tengah Timur kekal sebagai pengeluar minyak utama dunia, dengan laluan perairannya menjadi 'nadi' perdagangan maritim.
Keutamaan strategik ini terserlah di Selat Hormuz, yang menyumbang satu daripada lima bahagian perdagangan minyak global, bersamaan 21 juta tong sehari.
Selat sempit tersebut menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman, seterusnya ke Laut Arab dan Lautan Hindi.

Difahamkan, selat ini sepanjang kira‑kira 100 batu dan selebar 24 batu pada titik paling sempit, terletak antara Iran di utara serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman di selatan.
Negara‑negara di seberang Teluk Parsi daripada Iran, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain dan Qatar menyumbang sebahagian besar daripada pengeluaran minyak dunia.
Selat ini merupakan satu-satunya laluan bagi kapal tangki membawa minyak untuk ke pasaran global, menjadikannya antara titik strategik paling penting dalam perdagangan dunia.

Menurut Sky News, sekatan di selat berkenaan berpotensi mendorong harga minyak melebihi $100 setiap tong, menurut ramalan penganalisis Goldman Sachs.
Manakala pada hari Jumaat, harga berada di bawah $70 setiap tong.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan bahawa kadar inflasi di negara maju meningkat kira-kira 0.4 mata peratus bagi setiap kenaikan 10% dalam harga minyak.
Sky News melaporkan penganalisis memaklumkan Iran mempunyai beberapa kaedah yang berpotensi untuk cuba menyekat akses ke Selat Hormuz.
Pakar keselamatan maritim di International Institute for Strategic Studies, Nick Childs berkata Iran telah membangunkan ‘pelbagai kemampuan yang ketara’, termasuk ranjau laut, kapal serangan laju, kapal selam, dron dan sistem misil.

"Jika digunakan dalam kempen menyeluruh, semua ini boleh menyebabkan gangguan yang sangat besar dan berpotensi membahayakan unit tentera laut AS serta negara lain
"Ia termasuk kapal penyapu ranjau yang berusaha memastikan laluan air itu kekal terbuka," katanya.
Bagaimanapun, ia akan menjadi langkah amat ekstrem bagi Iran untuk menutup laluan itu kerana tindakan sedemikian berpotensi mencetuskan kemarahan China, serta Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, dua lagi negara pengeluar minyak utama.