Kos sewaan bulanan bagi Toyota Vellfire 2.5 sebagai Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) kerajaan adalah lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium, umum Kementerian Kewangan (MOF).
MOF menerusi kenyataan media berkata, kos sewaan Proton Perdana 2.4 Premium tersebut adalah RM4,854.41 sebulan, manakala Toyota Vellfire 2.5 pula hanyalah RM4,851.61 sebulan.
“Cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.
“Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk menggantikan Proton Perdana Premium 2.4 Premium yang telah ditamatkan pengeluarannya pada 2014 dengan Toyota Vellfire 2.4 sebagai KRJ.
Sumber: Kementerian Kewangan
