KUALA LUMPUR, 8 Sept 2026 - Bagi kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memasuki rangkaian peruncitan moden bukan sekadar memperoleh ruang di rak. Ia membuka akses kepada pasaran yang lebih luas, meningkatkan keterlihatan jenama dan pada masa sama mendorong perniagaan memperkukuh keupayaan pengeluaran, logistik serta standard operasi.
NIMS Crispy Chocotub misalnya bermula apabila pengasasnya menjual produk keluaran pihak lain ketika masih bergelar pelajar, sebelum beralih kepada penghasilan crispy chocojars sendiri.

Bentoree pula bermula dengan kapasiti pengeluaran yang terhad dan kebanyakan proses pengeluaran dilaksanakan secara manual. Penambahan mesin serta penaiktarafan operasi hanya dapat dilakukan secara berperingkat seiring dengan perkembangan perniagaan.
Hari ini, Bentoree yang menghasilkan makanan sedia dimakan, minuman sedia diminum dan mi segera, serta NIMS adalah merupakan diantara PKS tempatan yang bekerjasama dengan Lotus’s Malaysia untuk membawa produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.
PKS tempatan perkukuh operasi untuk tembusi pasaran lebih luas
Bagi Khor Bean Chong, pengasas dan pengerusi Banto Food Industries Sdn Bhd, syarikat di sebalik jenama Bentoree, meningkatkan kapasiti pengeluaran merupakan antara cabaran utama yang dihadapi pada peringkat awal.
Menurut beliau, kebanyakan proses pengeluaran ketika itu dilakukan secara manual berikutan kekangan kewangan, menyebabkan usaha menaik taraf operasi hanya dapat dilaksanakan secara berperingkat.
“Apabila anda masih sebuah perniagaan kecil, anda perlu menggunakan apa sahaja sumber yang ada. Kami sedar kecekapan operasi boleh dipertingkatkan, tetapi pelaburan dalam sistem automasi memerlukan sumber kewangan yang besar.
“Pada masa yang sama, kami juga tidak boleh berkompromi dari segi kualiti ketika perniagaan sedang giat berkembang,” kata Khor.
Bentoree kemudiannya menaik taraf operasinya dan kini bergerak ke arah fasiliti yang lebih automatik apabila permintaan terhadap produknya meningkat, baik di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Produk mi segera dan makanan sedia dimakan keluarannya turut mendapat sambutan menerusi media sosial dan platform e-dagang, sekali gus membantu membina kesedaran terhadap jenama itu sebelum berkembang ke kedai serbaneka dan rangkaian peruncitan moden.
Bagi Khor, penyertaan secara lebih meluas dalam rangkaian peruncitan moden turut menunjukkan betapa pentingnya keterlihatan kepada sesebuah jenama yang sedang berkembang.
“Kami menyedari bahawa mempunyai produk yang baik hanyalah satu permulaan. Pengguna perlu melihat, mencuba dan mempercayai produk tersebut.
“Bekerjasama dengan peruncit moden seperti Lotus’s telah membantu meningkatkan kesedaran terhadap jenama kami, termasuk menerusi aktiviti jelajah promosi.
“Dengan sokongan promosi Lotus’s serta penempatan strategik di lebih 70 cawangan, kami berjaya merekodkan peningkatan jualan sebanyak 15 peratus dari Disember 2025 hingga Mei 2026 berbanding tempoh Jun hingga November 2025,” katanya.
Jenama NIMS pula melalui perjalanan yang berbeza. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NIMS Adeliciousz Bhd, Tengku Nor Hanim Tengku Othman, memulakan perjalanan keusahawanannya pada 2014 ketika masih bergelar pelajar dengan menjual produk pihak lain sebelum beralih kepada penghasilan crispy chocojars. NIMS kemudiannya ditubuhkan pada 2019.
Apabila perniagaan mula memasuki sektor peruncitan moden, cabaran baharu turut muncul, termasuk dalam aspek perancangan pengeluaran, pembungkusan, pematuhan standard dan logistik. Pada masa sama, sesebuah jenama perlu mencari pendekatan yang dapat membolehkannya menonjol dalam pasaran yang kompetitif.
“Antara perkara paling mencabar apabila membina sebuah jenama kecil ialah kita tahu betapa usaha yang telah dilakukan, tetapi masih ramai yang belum mengenali kita.
“Kita boleh terus menambah baik produk dan berusaha, tetapi jika pengguna tidak melihat produk kita, sukar untuk kita berkembang,” kata Tengku Nor Hanim.
Produk NIMS kini boleh diperoleh menerusi pelbagai saluran peruncitan moden di Malaysia dan turut dieksport ke Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam.
Bagi kedua-dua usahawan ini, memasuki sektor peruncitan moden hanyalah sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan.
Mengekalkan kehadiran di rak memerlukan kualiti yang konsisten, bekalan yang boleh dipercayai, operasi yang lebih cekap serta pemahaman yang lebih mendalam terhadap kehendak pengguna.
Lotus’s buka akses pasaran untuk jenama tempatan
Di sinilah Lotus’s Malaysia memainkan peranan sebagai salah satu platform yang membantu PKS dan perusahaan mikro tempatan memperluas akses kepada pasaran dan pengguna.
Sokongan Lotus’s merangkumi akses kepada rangkaian peruncitan, aktiviti promosi, sesi pengenalan produk dan pensampelan, selain program pembangunan PKS yang membantu usahawan memahami dengan lebih mendalam keperluan operasi dalam persekitaran peruncitan moden.
Sepanjang tiga tahun lalu, seminar PKS anjuran Lotus’s telah menghimpunkan lebih 100 perusahaan bagi setiap sesi, dengan perkongsian merangkumi kehendak pengguna, penjenamaan, pensijilan, logistik, perdagangan digital, pemasaran produk serta keperluan operasi peruncitan moden.
Seminar PKS 2026 pula menghimpunkan 77 peserta daripada 53 syarikat, dengan 14 pembekal baharu turut mengambil bahagian dalam program reruai.
Bagi Lotus’s, membangunkan usahawan tempatan bukan sekadar menyediakan ruang di rak. Ia turut melibatkan usaha memperluas pendedahan jenama, meningkatkan kefahaman terhadap keperluan peruncitan moden serta membantu perusahaan tempatan membina asas yang lebih kukuh untuk berkembang.
Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Baizura Azmel berkata, pertumbuhan perusahaan tempatan memerlukan kombinasi antara usaha usahawan itu sendiri dan peluang untuk mengakses pasaran yang lebih luas.
“Sehingga kini, kami telah bekerjasama dengan ratusan PKS tempatan dan berbangga melihat sejauh mana sebahagian daripada mereka telah berkembang.
“Usahawan sendiri adalah pemacu utama kepada kejayaan mereka. Peranan kami adalah membantu membuka akses kepada pasaran yang boleh menyokong perjalanan pertumbuhan tersebut.
“Apabila sebuah jenama Malaysia berkembang ke pasaran yang lebih besar dan akhirnya berjaya membawa produknya ke luar negara, kami berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan itu,” katanya.
Bagi Tengku Nor Hanim, nilai peluang tersebut mungkin paling jelas apabila beliau melihat kembali titik permulaannya sebagai seorang pelajar yang menjual produk keluaran pihak lain.
“Apabila saya bermula sebagai pelajar, saya menjual produk orang lain. Hari ini, melihat produk kami sendiri sampai kepada pengguna di Malaysia dan luar negara adalah sesuatu yang sangat bermakna.
“Kami tidak pernah lupa dari mana kami bermula atau mereka yang telah memberi kami peluang sepanjang perjalanan ini.
“Peruncit seperti Lotus’s yang membuka pintu kepada jenama tempatan menjadi sebahagian daripada perjalanan kami. Kadangkala, sesebuah perniagaan kecil hanya memerlukan peluang untuk dikenali.
“Apa yang kita lakukan dengan peluang itu terpulang kepada diri kita sendiri, tetapi apabila ada pihak yang membuka pintu, ia boleh membawa perubahan yang besar,” katanya.
