KLUANG, 10 Sept (Bernama) – Seorang pesara tentera tidak menyangka kepulangannya ke rumah selepas keluar minum bersama-sama jiran berakhir dengan tragedi apabila isteri dan dua anak lelakinya maut dalam kebakaran di Taman Titiwangsa, di sini, malam tadi.
Khairul Nizam Wahid, 50, berkata ketika kejadian kira-kira 10.30 malam, beliau baru pulang sebelum terkejut melihat api marak pada sofa di ruang tamu sebaik membuka pintu rumah teres dua tingkat itu.
Beliau berkata beliau cuba mengeluarkan sofa tersebut dari kediaman tersebut namun gagal apabila asap tebal mula memenuhi ruang tamu, manakala api semakin marak menyebabkan beliau mengalami sesak nafas dan terpaksa keluar dari rumah.
“Ketika itu jugalah isteri saya yang berada di tingkat atas menelefon saya menanyakan mengenai bunyi bising dan saya menjawab tingkat bawah rumah (ruang tamu) telah terbakar.
“Saya ada juga berusaha kembali untuk masuk ke dalam rumah tetapi api semakin besar menyukarkan niat saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini hari ini.
Khairul Nizam berkata panggilan daripada isterinya itu kemudian terputus sebelum beliau menjerit meminta pertolongan daripada jiran.
“Kejadian ini berlaku terlalu pantas sehinggakan saya sendiri tidak mampu berkata apa-apa,” katanya.
Dalam kejadian itu isterinya Noraini Ibrahim, 49, serta dua anak lelaki mereka, Khairul Nurhaziqq, 18, dan Khairul Nurhadiff, 11, maut selepas terperangkap dalam kebakaran.

Lebih menyayat hati, dua beradik itu ditemui dalam keadaan berpelukan ketika anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat di dalam rumah berkenaan.
Khairul Nizam berkata beliau dan Noraini sebelum ini bersama-sama mengusahakan perniagaan katering bagi menyara keluarga, di samping menjalani kehidupan sebagai keluarga yang rapat dan memiliki seorang lagi anak lelaki yang tiada di rumah sewaktu kejadian.
Beliau berkata isteri dan dua anaknya itu mempunyai hubungan yang sangat rapat dan banyak menghabiskan masa bersama.
Antara kenangan yang paling sukar dilupakan adalah minat mereka sekeluarga bermain boling, selain sokongan Noraini terhadap usaha mereka mengembangkan perniagaan katering dan menternak lembu.
“Kalau boleh digantikan nyawa… biarlah nyawa saya yang diambil bukan mereka dan perkara yang akan paling saya ingati adalah beberapa hari sebelum kebakaran isteri menegur saya selepas saya dua kali menunaikan solat Zohor,” katanya.
Dalam pada itu jenazah ketiga-tiga mangsa dijangka dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong Dalam, di sini, selepas solat Asar.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 10.44 malam, sebelum 14 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang tiba di lokasi, kira-kira lima minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat berkeluasan 16 kaki x 70 kaki, dengan kira-kira 50 peratus struktur rumah terbakar.
“Terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam rumah dan kesemua mereka disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” menurut JBPM Johor dalam kenyataan hari ini.

