Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebuah pesawat kargo dari Ukraine, Antonov An-12 dilaporkan terhempas berhampiran Paleochori Kavala di Utara Greece dalam kejadian awal pagi tadi, lapor agensi berita AFP.
Menurut laporan sama daripada Agensi Berita Athens, saksi di lokasi kejadian mendakwa dia melihat pesawat berkenaan terbakar, selain turut terdengar bunyi letupan.
Dalam masa sama, seorang penduduk tempatan berdekatan lokasi kejadian, Giorgos Archontopoulus berkata, dia berasa ada sesuatu yang ‘tidak kena’ setelah terdengar bunyi enjin pesawat berkenaan.
“Pada jam 10:45 malam, saya terkejut dengan bunyi pesawat enjin pesawat itu dan saya keluar melihat enjinnya sudah terbakar,” katanya kepada pemberita televisyen negeri ERT, memetik AFP.
Difahamkan, seramai tujuh anggota bomba dikerahkan ke lokasi nahas berkenaan, namun usaha untuk mendekati pesawat terbakar itu gagal kerana letupan tersebut berterusan berlaku.
Dalam pada itu, televisyen ERT melaporkan bahawa pesawat itu merupakan milik Ukraine yang membawa lapan orang bersama kargonya yang difahamkan ‘berbahaya’.
Sehubungan itu, pihak polis meminta petugas-petugas media yang membuat liputan di lokasi kejadian untuk memakai topeng keselamatan.
“Anda perlu pergi dari sini untuk keselamatan diri. Ada maklumat menjelaskan pesawat itu membawa peluru,” kata salah seorang anggota bomba kepada media tempatan, memetik AFP.
Sementara itu, Datuk Bandar Paggaio, Filippos Anastasiadis menjelaskan kepada Open TV, “Pesawat berkenaan terhempas kira-kira dua kilometer (satu batu) dari kawasan kediaman,”
Difahamkan, menurut media tempatan seperti yang dilapor AFP, pesawat kargo berkenaan pada asalnya sedang dalam perjalanan dari Serbia menuju ke Jordan.
Pesawat itu telah meminta pelepasan untuk melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Kavala tidak jauh dari situ.
Bagaimanapun ia tidak sempat tiba di sana lalu terhempas di lokasi kejadian.
Sehingga kini, menerusi rakaman laporan yang disiarkan secara langsung di televisyen, belum ada maklumat rasmi mengenai jumlah mangsa yang terlibat dalam nahas terbabit.
Sumber: AFP, The Guardian, ANews