KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Hubungan Malaysia dengan India terus berkembang dengan kukuh dan meningkat ke tahap lebih tinggi, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mridul Kumar.
Menyifatkan hubungan India dengan Malaysia umpama ‘ikatan yang abadi’, utusan itu berkata 2.7 juta diaspora India di sini membentuk asas kukuh dalam hubungan bersama.
“Sejak kebelakangan ini, kami telah menjadi rakan dagang utama antara satu sama lain di seluruh dunia, perdagangan terus berkembang dan berada pada tahap yang tinggi,” katanya ketika berucap pada sambutan ke-71 hari republik India di sini Rabu.
Acara itu dihadiri kira-kira 1,000 orang termasuk beberapa menteri kabinet, pemimpin parti politik, diplomat asing dan pemimpin korporat.
Mengulas lanjut, utusan itu berkata sumbangan diaspora kepada Malaysia dan rasa hormat yang tidak berbelah bagi terhadap tanah air mereka – India – membentuk aspek penting dalam hubungan dua hala New Delhi-Kuala Lumpur – yang mula terjalin pada 1957.
“Orang India, sama seperti orang lain yang tinggal di sini, membantu dan bekerja keras membentuk Malaysia moden. Tiada siapa yang boleh melupakan pengorbanan yang dibuat untuk melindungi Semenanjung semasa Perang Dunia II,” katanya.
Mengenai pendidikan, Mridul berkata kira-kira 55 pelajar Malaysia yang cemerlang menerima biasiswa bernilai lebih RM250,000 pada akhir tahun lalu, menerusi Biasiswa dan Tabung Amanah India.
“Di bawah program perkongsian pembangunan Kerjasama Ekonomi dan Teknikal India (ITEC) yang ditaja sepenuhnya kerajaan, kami menyediakan kursus latihan jangka pendek dan sederhana kepada warga Malaysia dalam bidang penderiaan jauh, teknologi siber dan kecerdasan buatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA