Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Petronas & QatarEnergy Meterai Perjanjian Bekalan LNG Selama 20 Tahun
Anak syarikat Petronas, Petronas LNG Ltd (PLL) telah memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) gas asli cecair (LNG) selama 20 tahun dengan QatarEnergy.
Petronas menerusi satu kenyataan media pada Rabu berkata ia menandakan perjanjian bekalan LNG jangka panjang pertama antara kedua-dua syarikat.
"Di bawah SPA berkenaan, PLL akan mengambil bekalan LNG sehingga dua juta tan metrik setahun (MTPA) daripada QatarEnergy bagi tempoh 20 tahun.
"Jumlah jangka panjang yang diperoleh melalui perjanjian ini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan bekalan tenaga Malaysia, sekali gus memastikan ketersediaan LNG yang stabil dan boleh dipercayai bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negara ini," katanya.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tenaga serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif QatarEnergy, Saad Sherida Al-Kaabi.
Ia berlangsung di Doha, bersempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Gas Asli Cecair ke-21, “LNG2026”.
Menurut Tengku Muhammad Taufik, perjanjian ini menandakan satu pencapaian penting bagi Petronas dalam memperkukuh keselamatan tenaga kepada pihak berkepentingan.

"Bekalan LNG melalui kerjasama dengan rakan industri terkemuka seperti QatarEnergy melengkapi kargo daripada hab LNG kami di Malaysia dan Kanada, sekali gus mempelbagaikan nod bekalan ketika Petronas membuka peluang baharu untuk menjana nilai dan kecekapan yang lebih tinggi," ujarnya.
Kerjasama strategik ini juga meningkatkan daya tahan portfolio Petronas dalam landskap tenaga global yang kian berkembang, di samping menyokong pembangunan ekonomi negara serta keutamaan peralihan tenaga.
Ia turut mencerminkan komitmen bersama Petronas dan QatarEnergy untuk memperdalam kerjasama merentas rantaian nilai LNG ke arah portfolio gas yang mampan dan bersedia untuk masa hadapan.
Petronas turut berkata perjanjian ini mencerminkan usaha berterusan kedua-dua pihak serta asas kukuh yang dibina hasil kerjasama bertahun-tahun.
Ia meletakkan perkongsian ini pada kedudukan yang mampu menyampaikan nilai jangka panjang dan menyokong kemajuan praktikal ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan.