Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Petrosains Perluas Discovery Rover, Bawa Pembelajaran STEM Secara Hands-On

STEM

Petrosains Perluas Discovery Rover, Bawa Pembelajaran STEM Secara Hands-On

Petrosains Sdn. Bhd. hari ini melancarkan Petrosains Discovery Rover (PDR) Semenanjung di Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (2), menandakan peluasan inisiatif jangkauan STEM bergerak Petrosains ke Semenanjung Malaysia, bermula di kawasan Lembah Klang.

Direka sebagai sebuah “pusat sains bergerak”, Petrosains Discovery Rover menyampaikan pengalaman pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) secara berfasilitasi dan praktikal terus ke sekolah melalui demonstrasi interaktif, eksperimen serta aktiviti berstruktur. Program ini melengkapkan pembelajaran formal di dalam bilik darjah di samping menggalakkan rasa ingin tahu, pemikiran kritikal serta minat yang lebih mendalam terhadap sains dalam kalangan pelajar.

Sejak Februari 2026, program ini telah mencapai lebih 18,000 peserta, mencerminkan tahap penglibatan yang memberangsangkan daripada sekolah-sekolah dan komuniti. Berpaksikan momentum ini, Petrosains menyasarkan untuk mencapai 100,000 peserta menjelang Disember 2026, selaras dengan usaha berterusan untuk memperluaskan akses kepada pengalaman pembelajaran STEM di peringkat nasional.

Pertama kali diperkenalkan di Sabah dan Sarawak pada tahun 2025, Petrosains Discovery Rover menyediakan satu platform yang fleksibel untuk membawa aktiviti STEM yang dikurasi ke sekolah-sekolah dan komuniti. Format mudah alihnya membolehkan pelaksanaan program di pelbagai persekitaran sekolah, menyokong penglibatan yang lebih luas serta membolehkan pelajar meneroka pembelajaran STEM dalam suasana yang dekat dan familiar. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak berkepentingan pendidikan yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. Bhd., Encik Ezarisma Azni Mohamad, berkata peluasan program ini mencerminkan komitmen berterusan Petrosains dalam memperkukuh penglibatan STEM dalam kalangan pelajar.

“Susulan sambutan yang menggalakkan terhadap pelaksanaan Discovery Rover di Malaysia Timur, kami berbesar hati untuk memperluaskan inisiatif ini ke Semenanjung Malaysia. Dengan membawa pembelajaran STEM secara praktikal terus ke sekolah, kami berhasrat untuk menyokong penglibatan pelajar yang lebih bermakna, menyemai rasa ingin tahu serta memperkukuh pemahaman konsep sains melalui pembelajaran berasaskan pengalaman,” katanya.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Dr. Nor Saidatul Rajeah binti Zamzam Amin, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, bersama-sama Encik Ahmad Faridz bin Dzulkarnain, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Tengah dan Utara. Majlis turut diserikan dengan sesi pameran di mana para pelajar dan tetamu berpeluang berinteraksi secara langsung dengan aktiviti sains yang dibawa oleh Discovery Rover.

Pemilihan Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun (2) sebagai lokasi pelancaran adalah berdasarkan kesesuaiannya untuk pelaksanaan program serta potensi penglibatan aktif pelajar. Pendekatan berasaskan sekolah ini mencerminkan komitmen Petrosains untuk menyampaikan pengalaman pembelajaran STEM secara langsung dalam persekitaran pendidikan, sejajar dan melengkapi amalan pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

Petrosains merancang untuk memperluaskan pelaksanaan Discovery Rover Semenanjung secara berperingkat ke lebih banyak sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia, sekali gus memperkukuh komitmennya dalam memperluaskan akses kepada pengalaman pembelajaran STEM di seluruh negara.