Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PH Hormati Kuasa Agong Dalam Isu Pengampunan Najib - Amirudin

PENGAMPUNAN
Kredit: Facebook Amirudin Shari

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menghormati sepenuhnya kuasa dan autoriti Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu dalam memberikan pengampunan, termasuk berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu tidak pernah dipertikaikan, sebaliknya pendirian PH adalah berdasarkan pengiktirafan terhadap bidang kuasa institusi diraja dalam perkara berkenaan.

“Tak ada pertikaian. Yang kita bangkitkan adalah pandangan bahawa kita faham Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja mempunyai wewenang serta autoriti penuh untuk memberikan pengampunan. Itu memang telah diperakui dan tak pernah disentuh,” katanya kepada media selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa PH mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Amirudin berkata PH juga tidak menghalang sebarang prosiding Lembaga Pengampunan yang dikatakan akan berlangsung esok.

Dalam pada itu, Amirudin ketika mengulas pandangan seorang pemimpin DAP Kuala Lumpur yang menggesa anggota parti itu meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengampunan berkata pandangan akar umbi itu perlu dihormati.

Beliau berkata PH bagaimanapun perlu terus melaksanakan amanah yang diberikan rakyat selepas memperoleh jumlah kerusi tertinggi pada pilihan raya umum lepas dan diberi tanggungjawab untuk mengemudi kerajaan.

“Kami sudah melaksanakannya dengan membawa kejayaan ekonomi, mengekalkan kestabilan dalam keadaan krisis merata-rata. Walaupun ada dua-tiga isu yang perlu ditangani, seperti isu 3R dan kepercayaan masyarakat Melayu, kami ada lagi berbaki setahun.

“Saya rasa kami harus melengkapkan amanah yang telah diberikan dan lakukan sebaik mungkin. Bersikap berputus asa bukanlah satu keputusan yang bijak di saat perlawanan belum berakhir,” katanya.

-- BERNAMA