Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pink October: Jangan Tunggu Ada Ketulan, Kesedaran Perlu Diterjemahkan Kepada Tindakan

PINK OCTOBER
Menara Eiffel diterangi dengan cahaya merah jambu semepena Bulan Kesedaran Kanser Payudara | Gambar: AFP
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Siakap Keli

Setiap Oktober, warna merah jambu kembali memenuhi ruang media sosial, hospital, pusat membeli-belah dan pelbagai program komuniti. Reben merah jambu dipakai sebagai tanda sokongan, poster kesedaran dikongsi dan mesej tentang kanser payudara kembali mendapat perhatian.

Semua ini penting. Namun, ada satu persoalan yang wajar kita fikirkan bersama: selepas Oktober berakhir, adakah kesedaran itu turut berakhir?

Bagi seorang wanita, kesedaran tentang kanser payudara bukan sekadar mengetahui bahawa penyakit itu wujud. Kesedaran sebenar bermula apabila dia mengenali tubuhnya sendiri, peka terhadap perubahan yang tidak biasa dan tahu bila perlu mendapatkan pemeriksaan.

Masih ada wanita yang beranggapan bahawa selagi tidak sakit, tidak perlu risau. Ada juga yang memilih untuk menunggu apabila terjumpa sesuatu yang berbeza pada payudara.

“Mungkin hormon,” “mungkin akan hilang sendiri,” atau “saya takut kalau doktor kata sesuatu yang tidak baik” ialah antara perkara yang mungkin bermain dalam fikiran.

Rasa takut itu sangat manusiawi. Tetapi dalam soal kesihatan, ketakutan tidak seharusnya menyebabkan kita menangguhkan tindakan.

Jangan tunggu sehingga sakit

Perubahan pada payudara tidak semestinya datang bersama rasa sakit. Sebab itu, wanita perlu mengenali apa yang normal bagi diri mereka. Bentuk dan keadaan payudara berbeza antara seorang wanita dengan wanita yang lain, malah boleh berubah mengikut usia, kitaran haid, kehamilan, penyusuan dan perubahan hormon.

Apa yang penting ialah menyedari apabila berlaku perubahan yang baharu atau luar biasa. Ketulan atau penebalan pada payudara atau ketiak, perubahan bentuk atau saiz, perubahan pada kulit atau puting, atau cecair luar biasa daripada puting merupakan antara perubahan yang tidak wajar diabaikan.

Tidak semua perubahan ini bermaksud kanser. Itulah sebabnya kita tidak sepatutnya membuat diagnosis sendiri. Jika ada sesuatu yang merisaukan, dapatkan penilaian daripada profesional kesihatan.

Pemeriksaan awal memberi peluang untuk memahami apa yang sedang berlaku dan menentukan langkah seterusnya dengan lebih jelas.

Kadangkala yang menghalang bukan kurang pengetahuan, tetapi rasa takut

Sebagai seorang jururawat, pendidik dan penyelidik, saya melihat isu kesihatan bukan hanya daripada sudut penyakit. Di sebalik seseorang pesakit ada emosi, keluarga, pekerjaan, tanggungjawab dan pelbagai kebimbangan yang tidak selalu dapat dilihat.

Seorang ibu mungkin lebih memikirkan anak-anaknya daripada dirinya sendiri. Seorang isteri mungkin bimbang bagaimana keluarga akan menghadapinya jika dia sakit.

Ada wanita yang takut terhadap rawatan, perubahan imej tubuh atau kemungkinan kehilangan pendapatan. Ada pula yang terlalu sibuk menjaga orang lain sehingga pemeriksaan kesihatan sendiri sentiasa ditangguhkan.

Sebab itu, apabila kita bercakap tentang pengesanan awal, kita juga perlu bercakap tentang sokongan.

Kita tidak cukup sekadar berkata, “Pergilah buat pemeriksaan.” Kita perlu mewujudkan persekitaran yang membuatkan wanita berasa selamat untuk mendapatkan bantuan.

Kadangkala sokongan paling bermakna sangat sederhana: suami yang menemani ke klinik, anak yang membantu menguruskan urusan rumah, majikan yang memberi ruang untuk menghadiri pemeriksaan, atau sahabat yang sudi mendengar tanpa menghakimi.

Tiada sejarah keluarga bukan bermaksud tiada risiko

Satu lagi salah faham yang sering kedengaran ialah, “Dalam keluarga saya tiada siapa pernah kena kanser payudara, jadi saya tidak perlu terlalu risau.”

Sejarah keluarga memang penting dalam menilai risiko, tetapi ia bukan satu-satunya faktor. Oleh itu, wanita yang tidak mempunyai sejarah keluarga kanser payudara juga perlu mengambil berat tentang kesihatan payudara.

Daripada terlalu bimbang tentang sama ada kita “berisiko” atau “tidak berisiko”, lebih baik kita membina satu budaya yang lebih sihat: kenali tubuh sendiri, amalkan gaya hidup yang baik, fahami faktor risiko peribadi dan berbincang dengan profesional kesihatan mengenai pemeriksaan atau saringan yang sesuai mengikut umur serta keadaan individu.

Daripada kesedaran kepada pemerkasaan

Malaysia mempunyai banyak kempen kesedaran kesihatan. Namun, keberkesanan sesuatu kempen tidak seharusnya diukur hanya melalui jumlah poster, ceramah atau peserta yang hadir.

Soalan yang lebih penting ialah: selepas seseorang wanita menerima maklumat, adakah dia tahu apa yang perlu dilakukan? Adakah dia tahu ke mana perlu pergi jika mendapati perubahan? Adakah dia cukup yakin untuk mendapatkan pemeriksaan?

Di sinilah kita perlu bergerak daripada sekadar kesedaran kepada pemerkasaan.

Pemerkasaan berlaku apabila wanita bukan sahaja menerima maklumat, tetapi mampu menggunakan pengetahuan itu untuk membuat keputusan mengenai kesihatan diri.

Pendidikan kesihatan yang baik tidak membuatkan masyarakat semakin takut. Sebaliknya, ia membantu mereka memahami risiko secara rasional dan mengetahui tindakan yang boleh diambil.

Pendekatan ini perlu dibawa lebih dekat kepada komuniti. Pendidikan mengenai kesihatan payudara tidak boleh hanya berlaku di hospital atau universiti.

Ia perlu sampai ke tempat kerja, sekolah, kampung, kawasan luar bandar dan ruang digital yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini.

Bahasa yang digunakan juga penting. Maklumat kesihatan yang terlalu teknikal mungkin tepat, tetapi tidak semestinya difahami. Tanggungjawab kita sebagai profesional kesihatan dan ahli akademik ialah menterjemahkan ilmu kepada bahasa yang dekat dengan masyarakat tanpa mengorbankan ketepatan.

Seorang wanita yang berilmu boleh memperkasakan sebuah keluarga

Saya percaya kesan pendidikan kesihatan tidak berhenti pada seorang individu. Apabila seorang wanita memahami kepentingan menjaga kesihatan payudara, pengetahuan itu boleh sampai kepada ibu, kakak, adik, anak perempuan, sahabat dan jiran.

Bayangkan seorang wanita pulang daripada program kesedaran dan berkata kepada ibunya, “Kalau ibu rasa ada perubahan, jangan tunggu. Kita pergi periksa.” Ayat yang ringkas itu mungkin kelihatan kecil, tetapi itulah bagaimana ilmu diterjemahkan kepada tindakan.

Komuniti yang celik kesihatan tidak terbentuk dalam sehari. Ia bermula daripada perbualan kecil di rumah, tempat kerja dan masyarakat. Ia juga memerlukan kerjasama profesional kesihatan, institusi pendidikan, media, pertubuhan masyarakat dan keluarga.

Media khususnya mempunyai peranan yang besar. Dalam keadaan masyarakat menerima begitu banyak maklumat melalui telefon setiap hari, kandungan kesihatan yang tepat, mudah difahami dan bertanggungjawab amat diperlukan. Media bukan sekadar menyampaikan maklumat; media boleh membantu membentuk budaya masyarakat yang lebih peka terhadap kesihatan.

Pink October jangan berakhir pada 31 Oktober

Apabila Oktober berakhir, warna merah jambu mungkin semakin kurang kelihatan. Namun, mesej di sebaliknya tidak seharusnya hilang.

Pink October sepatutnya menjadi titik permulaan untuk kita membina satu tabiat yang lebih penting: mengambil berat tentang tubuh sendiri dan tidak menangguhkan pemeriksaan apabila ada sesuatu yang berubah.

Kepada para wanita, jangan rasa bersalah kerana mengambil masa untuk menjaga diri. Menjaga kesihatan sendiri bukan tindakan mementingkan diri. Seorang ibu, isteri, anak, kakak atau pemimpin juga berhak memberi perhatian kepada tubuh dan kesejahteraannya sendiri.

Kepada keluarga pula, jangan tunggu seseorang yang kita sayangi meminta pertolongan. Tanyakan khabar, berikan ruang dan temani mereka apabila diperlukan.

Dan kepada kita semua, jangan jadikan kanser payudara sebagai topik yang hanya dibicarakan apabila Oktober tiba.

Reben merah jambu ialah simbol. Tetapi simbol hanya mempunyai makna apabila ia mendorong tindakan.

Kenali tubuh anda. Peka terhadap perubahan. Jika ada sesuatu yang merisaukan, dapatkan penilaian profesional.

Kerana kadangkala, langkah paling penting dalam menjaga kesihatan bermula dengan satu keputusan yang sangat sederhana: jangan tunggu.

Intipati
  • Wanita digalakkan mengenali perubahan payudara dan mendapatkan pemeriksaan profesional tanpa bertangguh.
  • Artikel menekankan sokongan keluarga, majikan dan komuniti penting dalam pengesanan awal.
  • Kesedaran Pink October perlu diteruskan sepanjang tahun melalui pendidikan kesihatan mudah difahami.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan