Satu panel bebas perlu ditubuhkan bagi mengkaji semula dasar pendidikan Malaysia dan mengenal pasti punca peningkatan perbelanjaan kerajaan dalam sektor berkenaan masih belum diterjemahkan kepada pencapaian pembelajaran pelajar yang lebih baik.
Jurucakap dasar Bersama, Sum Dek Joe berkata, cadangan itu dibuat susulan keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 yang menunjukkan prestasi pelajar Malaysia dalam Matematik, Membaca dan Sains masih lebih rendah berbanding 2018.
Menurutnya, skor Matematik Malaysia menurun daripada 440 mata pada 2018 kepada 397 mata pada 2025, manakala Membaca merosot daripada 415 kepada 393 mata dan Sains daripada 438 kepada 419 mata.
Katanya, panel berkenaan perlu meneliti semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 yang antara matlamatnya adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas negara dalam penilaian antarabangsa.
“Bagaimanapun, keputusan PISA 2025 menunjukkan prestasi dalam ketiga-tiga domain masih lebih rendah berbanding 2018,” katanya dalam satu kenyataan.
Panel Libatkan Pakar Pendidikan
Sum berkata, panel berkenaan perlu dianggotai penyelidik pendidikan, pakar penilaian, guru berpengalaman serta pakar kewangan awam.
Jelasnya, panel itu juga perlu diberikan akses kepada data Kementerian Pendidikan bagi membolehkan penelitian dibuat secara menyeluruh terhadap dasar dan pelaksanaan pendidikan negara.
“Panel perlu menentukan dasar mana yang berjaya, mana yang gagal dan mengapa sasaran pembelajaran tidak dicapai,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan supaya panel berkenaan mengemukakan dapatan serta syor kepada Parlimen dalam tempoh enam bulan.
Menurutnya, laporan itu perlu disertakan sasaran pembelajaran interim, tanggungjawab pelaksanaan serta keperluan pembiayaan bagi memastikan langkah pembaharuan dapat dilaksanakan dengan jelas.
Selain itu, Sum mencadangkan laporan kemajuan tahunan dibentangkan di Parlimen bagi memastikan pelaksanaan reformasi pendidikan dapat dipantau secara berterusan.
“Anak-anak Malaysia tidak mampu menanggung janji yang tidak ditunaikan,” katanya.
PISA yang dikendalikan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) merupakan penilaian tiga tahun sekali terhadap pelajar berusia 15 tahun bagi mengukur penguasaan pengetahuan dan kemahiran utama yang diperlukan untuk penyertaan penuh dalam masyarakat.

