Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
ALOR SETAR, 30 April — Kedai barangan elektrik dan elektronik (E&E), alat ganti kenderaan, barangan input pertanian serta kedai barangan logam (hardware) di negeri ini, dibenarkan beroperasi lima hari seminggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat yang bermula semalam hingga 12 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew, berkata kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada kedai berkenaan untuk beroperasi dari Ahad hingga Khamis.
“Sebelum ini kedai alat ganti kenderaan, barangan input pertanian dan kedai barangan logam di negeri ini hanya dibenarkan beroperasi dua hari seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.
“Bagi fasa empat, pembukaan kedai perlu mengikut waktu operasi biasa seperti sebelum PKP dilaksanakan. Jika kedai itu beroperasi antara jam 9 pagi dan 5 petang sebelum PKP, maka mereka hanya dibenarkan untuk beroperasi dalam waktu itu sahaja,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Tadbir Urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah Selaras Pelanjutan Tempoh PKP pada 27 April lalu sebelum dilaporkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) COVID-19 dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, hari ini.
Tan, bagaimanapun, menegaskan waktu operasi kedai-kedai itu hendaklah dipastikan tidak lebih awal dari jam 8 pagi dan tidak melebihi jam 8 malam.
“Kita masih menunggu penjelasan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan pusat mengenai kebenaran untuk sektor-sektor ekonomi beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.
“Bagi kilang atau industri yang telah mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi dalam tempoh 16 jam dan 24 jam sebelum ini, tiada masalah untuk mereka meneruskan operasi dalam tempoh itu,” katanya.
Beliau berkata bagi sektor lain seperti kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak, setakat ini operasi masih dikekalkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
Sumber: BERNAMA