Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kemungkinan perlumbaan Formula Satu (F1) kembali dianjurkan di Malaysia pada masa akan datang, susulan kejayaan penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Anwar berkata, perkara berkenaan kini sedang dibincangkan ketika ditemu bual oleh laman sukan antarabangsa, Sky Sports, semasa menghadiri perlumbaan GP Bahrain di SIC, hari ini.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1, beliau berkata, “Kami sedang berbincang.”
“Saya menantikannya. Kami sedang berbincang,” katanya dalam temu bual berkenaan.
Anwar turut menyifatkan penganjuran acara permotoran di Malaysia sebagai sesuatu yang baik kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada negara, malah turut membuka peluang kepada syarikat tempatan.
Dalam nada berseloroh, beliau berkata cuaca panas dan lembap di Malaysia sememangnya mencabar, terutama bagi pelawat antarabangsa.
“Tengoklah, saya sudah basah kuyup, tetapi tetap teruja.
“Anda dapat lihat seluruh negara turut meraikannya,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar tidak mengesahkan sebarang tarikh atau butiran sekiranya Malaysia bakal kembali menjadi tuan rumah F1 secara tetap, sebaliknya hanya memaklumkan bahawa perbincangan mengenai perkara itu sedang berlangsung.


