Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa pelumba tiba-tiba memperlahankan kenderaan, tidak dibenarkan memotong atau perlu masuk ke pit ketika perlumbaan berlangsung?
Selain kemahiran pelumba dan prestasi jentera, bendera serta lampu isyarat yang digunakan oleh marshal turut memainkan peranan penting bagi memastikan perlumbaan, sesi kelayakan dan latihan berlangsung dengan selamat.
Setiap warna mempunyai maksud tersendiri dan arahan yang perlu dipatuhi pelumba.
Jadi, sebelum menyaksikan perlumbaan seterusnya, jom kenali 10 bendera dan lampu yang digunakan di litar serta maksudnya.

Bendera Hijau - Laluan Selamat
Bendera hijau menandakan keadaan litar bebas daripada bahaya.
Ia turut digunakan oleh pengadil permulaan sebagai isyarat bahawa sesi atau pusingan pemanas boleh dimulakan.
Bendera Kuning - Ada Bahaya Di Litar
Bendera kuning menunjukkan terdapat bahaya di litar, biasanya akibat kemalangan.
Jika bendera hanya ditunjukkan, pelumba dilarang memotong.
Bagaimanapun, jika bendera kuning dikibarkan, pelumba perlu memperlahankan kenderaan dan bersedia untuk berhenti serta-merta jika keadaan memerlukan.
Bendera Merah - Perlumbaan Dihentikan
Apabila bendera merah dikibarkan, perlumbaan, sesi kelayakan atau latihan perlu dihentikan serta-merta.
Ia biasanya digunakan apabila terdapat kenderaan yang berada dalam kedudukan berbahaya selepas kemalangan atau keadaan litar terlalu buruk untuk perlumbaan diteruskan dengan selamat.
Pelumba perlu memperlahankan kenderaan dan masuk ke pit.
Bendera Biru - Beri Laluan
Bendera biru diberikan kepada pelumba yang lebih perlahan apabila terdapat pelumba lebih pantas yang hampir memotongnya.
Pelumba berkenaan perlu memberikan laluan kepada pelumba yang lebih pantas pada peluang pertama yang sesuai.
Bendera Kuning Berjalur Merah - Cengkaman Litar Berkurang
Bendera kuning dengan jalur merah memberi amaran bahawa cengkaman permukaan litar berkurangan.
Keadaan itu boleh berpunca daripada air, minyak, tanah liat, batu kerikil atau bahan lain yang menjejaskan permukaan litar.
Bendera Kotak-Kotak - Perlumbaan Tamat
Inilah antara bendera yang paling dinanti-nantikan oleh pelumba dan peminat.
Bendera kotak-kotak menandakan perlumbaan, sesi kelayakan atau latihan telah tamat.
Bendera Putih - Kenderaan Bergerak Perlahan
Bendera putih memberi isyarat bahawa terdapat kenderaan yang bergerak perlahan di litar.
Antaranya termasuk ambulans atau trak tunda yang sedang berada di laluan perlumbaan.
Bendera Hitam Dengan Bulatan Oren - Masalah Mekanikal
Bendera hitam dengan bulatan berwarna oren, bersama nombor pelumba, digunakan untuk memberitahu pelumba bahawa kenderaannya mengalami masalah mekanikal.
Pelumba perlu meninggalkan litar dan kembali ke pit dengan segera.
Bendera Hitam - Disingkirkan
Jika bendera hitam dikibarkan bersama nombor pelumba, ia bermaksud pelumba berkenaan perlu meninggalkan litar dan masuk ke pit dengan segera.
Isyarat itu menunjukkan pelumba telah disingkirkan daripada perlumbaan.
Lampu Merah - Bersedia Untuk Mula
Selain bendera, lampu merah turut memainkan peranan penting.
Lampu merah akan menyala antara dua hingga lima saat sebelum permulaan perlumbaan.
Lampu merah di kawasan garisan penamat juga digunakan pada penghujung sesi latihan, kelayakan dan sesi pemanas.
Lampu Hijau - Sesi Bermula
Lampu hijau pula menandakan permulaan sesi latihan, kelayakan, pemanas, pusingan masuk dan pusingan pemanas.
Lampu hijau juga perlu dinyalakan di pintu keluar pit bagi memberi isyarat bahawa pelumba boleh keluar dari kawasan tersebut.
Jadi, selepas ini apabila menonton perlumbaan, jangan hanya perhatikan siapa yang berada di depan. Cuba perhatikan juga bendera dan lampu yang dikibarkan di sepanjang litar. Mana tahu, anda sudah boleh jadi ‘pakar’ bendera perlumbaan!

