Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Hubungi Presiden Iran, Dapatkan Perkembangan Terkini Konflik Asia Barat

PM Anwar Hubungi Presiden Iran
Kredit: FB Anwar Ibrahim

PM Anwar Hubungi Presiden Iran, Dapatkan Perkembangan Terkini Konflik Asia Barat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat yang kian meruncing.

Menurutnya, Malaysia turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, termasuk kanak-kanak dan orang awam.

"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran. Dalam masa yang sama, Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini.

"Malaysia mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan. Saya turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad," katanya

Ujarnya lagi, pengalaman lalu membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan, sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lubnan.

Justeru, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan.

"Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat.

"Saya turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia, dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini.

"Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera," katanya lagi.

Menerusi kiriman di Facebook itu, Anwar turut berkongsi rakaman panggilan dengan Pezeshkian.

Pezeshkian mengucapkan terima kasih dan menghargai kenyataan serta usaha yang dilakukan oleh Anwar dalam mengecam tindakan yang tidak berperikemanusiaan, tidak sah dan keji oleh Israel dan AS terhadap Iran.