Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersyukur kerana berkesempatan menghadiri Majlis Ilmu MADANI yang mengangkat penghayatan Tafsir Surah Yusuf menerusi syarahan ulama tersohor dari Türkiye, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Fadhil al-Jilani al-Hasani.
Katanya, beliau turut mengenang jasa dan bimbingan tokoh ulama berkenaan yang memberikan kekuatan ketika melalui tempoh sukar dahulu.
Menurut beliau, kisah Nabi Yusuf AS bukan sekadar mengajar tentang kesabaran dan keteguhan iman, malah membawa iktibar besar dalam soal kepimpinan dan pentadbiran negara, khususnya kebijaksanaan mengurus sumber, merancang bekalan makanan serta membina daya tahan ekonomi ketika berdepan kemarau.
Beliau berkata, pengajaran itu wajar dijadikan pedoman dalam merangka dasar dan melaksanakan Belanjawan MADANI 2027, dengan kecekapan tadbir urus, kesejahteraan rakyat dan kemaslahatan ummah sentiasa menjadi keutamaan.
“Moga kita terus mengambil iktibar daripada kisah para anbiya, memperkukuh amanah dalam kepimpinan dan menjadikan setiap ikhtiar demi kesejahteraan rakyat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab yang dipikul,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

