Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Terima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025

Hannah
anugerah islam pm anwar
Gambar: BERNAMA

PM Anwar Terima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dinobatkan sebagai penerima Global Islamic Finance Leadership Award 2025 sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting beliau dalam memacu perkembangan kewangan Islam.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan ketika menerima anugerah itu berkata penghargaan tersebut bukanlah untuk dirinya seorang, sebaliknya kepada semua yang berkorban tenaga dan masa demi memastikan industri kewangan Islam terus berkembang.

“Saya percaya penghargaan ini adalah untuk mereka semua, dan saya hanya mewakili para penggerak yang telah berkhidmat dengan jauh lebih cemerlang serta bermakna daripada apa yang saya lakukan,” katanya.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pengerusi Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025 Prof Humayon Dar.

Anugerah GIFA merupakan penarafan tertinggi yang mengiktiraf kerajaan, institusi dan individu atas pencapaian cemerlang mereka dalam memastikan kelestarian perbankan dan kewangan Islam sebagai satu sistem berdaya maju dalam senibina kewangan global.

Ditubuhkan pada 2011 oleh Edbiz Corporation sebagai sebahagian daripada usaha menyokong perbankan dan kewangan Islam, GIFA mengiktiraf pencapaian individu, institusi dan kerajaan dalam memajukan kewangan Islam serta mengekalkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial.

Terdahulu dalam ucapan perasmian di GIFA 2025, Anwar menegaskan kewangan Islam mesti terus memainkan peranan utama dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di samping melahirkan generasi baharu pemimpin beretika.

Beliau menekankan bahawa kejayaan kewangan Islam tidak seharusnya diukur hanya pada saiz aset, tetapi juga pada keupayaannya mengubah kehidupan masyarakat dan menjamin masa depan.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

BACA: Ketua Polis Daerah Dang Wangi Cedera Ketika Operasi Di Kampung Sungai Baru

Sumber: BERNAMA