Pasangan pengantin baharu, Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima hadiah perkahwinan istimewa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menerusi video yang dikongsikan di Instagram Story Bella, pasangan itu dilihat menunjukkan hadiah yang diterima bersama kad ucapan daripada Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah.
PM Anwar Titip Hadiah
Menariknya, anak sulung Bella, Ayden Adrean turut membantu membacakan ucapan yang dititipkan buat pasangan yang baru sahaja membina mahligai bahagia berkenaan.

“Bella Astillah, selamat pengantin baru. Semoga mahligai yang dibina sentiasa dilimpahi keberkatan, kasih sayang dan dikurniakan keluarga yang sakinah, mawaddah serta warahmah,” demikian antara ucapan yang dibacakan Ayden.
Momen bahagia itu mencuri perhatian kerana memperlihatkan sisi manis keluarga kecil itu selepas Bella dan Syed Saddiq sah bergelar suami isteri.
Lebih mencuit hati, Syed Saddiq turut bertanya kepada Ayden tentang individu yang mengirimkan hadiah tersebut.
Tanpa berfikir panjang, Ayden terus menjawab, “Prime Minister!”.
Dalam hantaran sama, Bella turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas pemberian tersebut.
“Alhamdulillah, terima kasih PMX, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas pemberian hadiah perkahwinan ini. Satu ingatan yang sangat kami hargai.
“Semoga segala urusan PMX sentiasa dipermudahkan,” tulisnya lagi.
Perkongsian itu pastinya menjadi satu lagi kenangan manis buat Bella dan Syed Saddiq yang baru sahaja melangkah ke alam rumah tangga pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.


Kehadiran hadiah daripada Perdana Menteri dan isteri turut menambah satu lagi momen istimewa buat pasangan bahagia berkenaan ketika memulakan kehidupan sebagai suami isteri.

