Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Umum Tambahan RM10 Juta Bantu Pemandu Teksi

TEKSI
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PM Anwar Umum Tambahan RM10 Juta Bantu Pemandu Teksi

Kerajaan meluluskan tambahan geran padanan sebanyak RM10 juta bagi membantu pemandu teksi mendapatkan kenderaan baharu susulan sambutan memberangsangkan terhadap skim sama sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana RM10 juta yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2026 sebelum ini habis dimanfaatkan dalam tempoh hanya tiga bulan, sekali gus membuktikan keperluan mendesak dalam kalangan pemandu teksi untuk menggantikan kenderaan lama.

“Kerana sambutannya baik, saya luluskan hari ini tambahan RM10 juta lagi. Ini khusus untuk teksi,” katanya ketika merasmikan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan kekal dengan pendirian bahawa permit teksi perlu dimiliki oleh pemandu sendiri dan bukannya pihak ketiga bagi memastikan manfaat pembaharuan industri itu dinikmati secara terus oleh golongan terbabit.

Katanya, langkah itu penting bagi memperkukuh kedudukan pemandu teksi selain memastikan mereka tidak terus dibebani kos operasi yang tinggi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut menjalin kerjasama strategik bersama Proton, institusi kewangan serta kementerian berkaitan bagi menawarkan pakej pemilikan kenderaan yang lebih kompetitif.

Jelasnya, kerjasama itu merangkumi pengurangan kos pembiayaan, kos penyelenggaraan serta penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan bagi meringankan beban pemandu.

Beliau berkata, menerusi pendekatan tersebut, pemandu teksi berpotensi memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan hasil penjimatan kos operasi dan sistem pembiayaan yang lebih efisien.

Pada masa sama, Anwar menegaskan pemandu teksi juga perlu dibantu untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi baharu termasuk aplikasi tempahan digital.

Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian berkaitan membawa latihan teknologi terus ke stesen teksi bagi memudahkan penyertaan pemandu tanpa menjejaskan masa mereka mencari rezeki.

Beliau turut menyifatkan pemandu teksi sebagai antara duta negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi pelancong terhadap Malaysia menerusi layanan, profesionalisme serta imej perkhidmatan yang diberikan.

Katanya, kerajaan akan terus memperkukuh kebajikan golongan itu melalui pelbagai inisiatif yang bersesuaian demi memastikan industri teksi negara kekal relevan dan berdaya saing.