Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Dijangka Buat Pengumuman Penting Pada 30 Ogos Dan 16 Sept Ini

Dijangka Buat Pengumuman
Kredit: Bernama

KLANG, 20 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting berkaitan negara pada malam sambutan ambang merdeka dan Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

“Saya akan dengar, minta beberapa pandangan lain dikemukakan dan (menjelang) 31 Ogos tahun ini, saya akan buat satu dua pengumuman penting bagi negara... kemudian saya ke Kuching, 16 Sept Hari Malaysia.

“Jadi, 30 Ogos malam satu pengumuman, (selepas itu) 16 Sept, kemudian (akan ada pengumuman pada) awal Oktober (semasa) Belanjawan,” katanya pada sesi Temu Anwar sempena Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan seorang mahasiswa mengenai langkah kerajaan bagi menjamin kebajikan dan keselamatan kewangan belia yang terlibat dalam ekonomi gig.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedang memperkukuh perlindungan bagi pekerja ekonomi gig menerusi penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) selain memperkenal rang undang-undang baharu berkaitan perniagaan kecil-kecilan.

Beliau berkata walaupun terdapat pandangan bahawa bantuan sedia ada masih belum mencukupi, kerajaan tetap perlu memastikan kebajikan golongan berkenaan terbela.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan mempermudah akses pembiayaan kepada graduan yang ingin memulakan perniagaan termasuk menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Beliau berkata syarat sedia ada yang memerlukan pemohon mempunyai rekod perniagaan sebelum memperoleh pembiayaan perlu dilihat semula memandangkan keadaan ekonomi dan corak pekerjaan telah berubah.

“Jadi, saya hanya boleh sebut di sini saya akan dengar dan teliti... jika ada keupayaan, kita akan lakukan yang terbaik untuk belia,” katanya.

Intipati
  • Anwar dijangka membuat pengumuman penting pada 30 Ogos, 16 September dan awal Oktober.
  • Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mahasiswa mengenai kebajikan pekerja ekonomi gig.
  • Kerajaan sedang memperkukuh perlindungan pekerja gig dan meneliti akses pembiayaan graduan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan